AM

CAP GESA PERKUKUH PERJANJIAN GLOBAL PLASTIK, ELAK KRISIS PENCEMARAN SISA

18/04/2024 07:10 PM

GEORGE TOWN, 18 April (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta pihak antarabangsa yang terlibat dalam rundingan Perjanjian Plastik Global agar memperkukuh kandungan dalam perjanjian ini bagi mengelakkan krisis pencemaran sisa plastik terus berlaku.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata pihaknya turut berharap perkara itu dapat disuarakan delegasi Malaysia yang akan mengambil bahagian dalam rundingan berkenaan di Ottawa, Kanada pada hujung bulan ini.

Beliau berkata ia susulan kebimbangan terhadap dapatan hasil ujian terhadap sampel palet plastik yang diambil daripada 13 negara termasuk Malaysia telah mengesan hampir 500 bahan kimia dalam palet plastik manakala dua sampel dari negara ini dikesan mengandungi lebih 200 bahan kimia merbahaya terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar. 

“Selaku ahli International Pollutants Elimination Network (IPEN), CAP telah menghantar dua sampel palet plastik untuk dianalisa oleh sekumpulan saintis di Sweden, Jerman serta Denmark dan hasilnya sebanyak 107 bahan kimia telah dikesan dalam sampel pertama manakala 111 lagi dalam sampel kedua.

“Sementara itu, daripada 30 bahan kimia yang dikesan pada kepekatan tinggi separuh daripadanya terhasil di peringkat pengeluaran pelbagai jenis plastik dan bahan bioaktif termasuk racun perosak seperti chlorpyrifos dan farmaseutikal selain terdapat tiga Polisiklik Aromatik Hidrokarbon (PAH),” katanya pada sidang media di Pejabat CAP di sini, hari ini.

Mohideen berkata dalam perbincangan Perjanjian Plastik Global sebelum ini, sesetengah negara memilih pendekatan bergantung kepada kitar semula plastik sebagai kaedah menyelesaikan krisis plastik.

“Bahan kimia yang terdapat dalam plastik kitar semula mungkin mendedahkan kita kepada kanser, penyakit jantung, gangguan pembiakan, diabetes, obesiti dan keadaan kesihatan serius yang lain,” katanya.

Justeru, beliau berkata Perjanjian Plastik Global yang berkesan perlu bagi menangani ancaman kepada kesihatan awam dan alam sekitar daripada bahan kimia plastik dan memasukkan pendekatan untuk mengawal pengeluaran plastik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan