AM

KELANTAN HARGAI KESEDIAAN KERAJAAN PERSEKUTUAN BANTU TANGANI KRISIS AIR- MB

17/04/2024 06:17 PM

KOTA BHARU, 17 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menghargai kesediaan Kerajaan Persekutuan dalam membantu menangani krisis bekalan air di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata kesediaan itu dinyatakan dalam beberapa pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Dalam beberapa pertemuan sebelum ini memang kita ada bincang berkaitan masalah air ini. Kerajaan Persekutuan menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.

"Ia satu maklum balas yang sangat baik dan kita kerajaan negeri amat berterima kasih," katanya ringkas kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung langkah yang akan diambil dalam mengatasi masalah bekalan air bersih di negeri ini yang belum berkesudahan.

Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri akan mengadakan solat sunat istisqa jika kemarau dan cuaca panas masih berlanjutan di negeri ini.

Beliau berkata pendekatan itu telah dilakukan sebelum ini melalui penglibatan semua pihak dan hujan mulai turun di beberapa tempat bermula awal Syawal.

"Sebelum ini, kita telah arahkan pemimpin masyarakat dan imam di masjid-masjid seluruh negeri mengadakan solat sunat istisqa bagi memohon pertolongan Allah menurunkan hujan. 

"Alhamdulillah, hujan mencurah-curah di beberapa daerah di Kelantan sebaik solat selesai," katanya.

Ekoran itu, beliau menasihatkan rakyat agar mengurangkan aktiviti di luar terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata langkah itu perlu diberi perhatian bagi memastikan tiada lagi nyawa yang terkorban selepas seorang kanak-kanak berusia tiga tahun meninggal dunia pada 1 April lepas kerana strok haba di Kelantan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan