AM

MIDA LANTIK SIKH SHAMSUL IBRAHIM SEBAGAI CEO BAHARU

17/04/2024 08:28 AM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melantik Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 18 April, 2024.

Menurut kenyataan MIDA pada Selasa, Sikh Shamsul Ibrahim akan menggantikan Datuk Arham Abdul Rahman yang bersara pada 17 April.

“Sejak menyertai MIDA pada 1996, Sikh Shamsul Ibrahim telah memegang pelbagai peranan kepimpinan, termasuk pengarah eksekutif bagi pembangunan pembuatan dan penggalakan pelaburan, dan terbaru sebagai pengarah eksekutif kanan advokasi polisi pelaburan.

“Beliau memberikan perkhidmatan dedikasi kira-kira 28 tahun kepada MIDA, dengan melaksanakan peranan penting dalam menentukan hala tuju strategik agensi ini dan menambah baik persekitaran pelaburan Malaysia,” jelas MIDA.

MIDA memaklumkan bahawa Sikh Shamsul Ibrahim mengetuai inisiatif yang secara signifikan meningkatkan pelaburan domestik dan asing, menunjukkan pemahamannya yang mendalam mengenai aliran ekonomi dan advokasi polisi.

“Pelantikan strategik ini membuktikan komitmen MIDA untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan kepelbagaian, sejajar dengan misi membina ekosistem pelaburan yang dinamik dan mampan bagi menarik pelaburan berkualiti,” tambah agensi itu.

Sementara itu, MIDA turut memuji Arham berikutan memainkan peranan penting dalam meneraju agensi itu ke arah pencapaian cemerlang sejak menjadi CEO pada 1 April 2021.

“Di bawah kepimpinannya, MIDA telah menyaksikan pencapaian bersejarah dari segi pelaburan yang diluluskan dan pertumbuhan yang belum pernah dicatatkan sebelum ini dalam bidang seperti pelaburan berteknologi tinggi dan transformasi digital.

“Semua ini telah melonjakkan daya tahan ekonomi dan daya saing Malaysia di peringkat global,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan