AM

KEMBANGKAN HASIL BIODIVERSITI SABAH BAGI SUBURKAN SEKTOR BIOEKONOMI

16/04/2024 02:01 PM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 16 April (Bernama) -- Sabah cukup dikenali dengan kepelbagaian biodiversiti terutama flora serta fauna yang mempunyai berbagai-bagai manfaat namun perlu ‘dituai’ secara berkesan bagi memastikan faedah itu diperoleh dan seterusnya memberi kesan positif kepada negeri ini serta penduduknya.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata sejak sekian lama penduduk negeri ini memperoleh manfaat daripada hasil biodiversiti ini, namun ramai penduduk masih bergantung kepada ‘model lama’ dengan hanya menjual hasil itu secara mentah.

Mohammad Yusof yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata penduduk perlu sedar keuntungan dapat dipertingkatkan jika hasil mentah itu diproses menjadi produk bioekonomi antaranya dalam bidang farmaseutikal dan pertanian teknologi tinggi.

“Saya melihat kita di Sabah ini banyak potensi bioekonomi daripada kepakaran, minat dan kita ada segalanya tetapi satu-satunya isu kita tidak dapat manfaatkan sains dan teknologi ini. Hasil hutan atau kelapa sawit misalnya dapat jual raih untung gembira sudah kita, tetapi tidak boleh terus begini.

“Jangan hanya jual sahaja, kita mesti teroka serta manfaatkan sains dan teknologi terutama bioteknologi untuk kembangkan perniagaan kita, jangan terlalu selesa dengan cara kita berniaga sekarang sebaliknya perlu berinovasi untuk terus maju ke depan,” katanya kepada Bernama.

Menurut Pusat Biodiversiti Sabah, Borneo dianggarkan mempunyai lebih 12,000 spesies tumbuhan,  lebih 4,000 terdiri spesies pokok dengan Gunung Kinabalu antara kawasan kaya biodiversiti mempunyai 234 jenis tumbuhan yang telah dikenal pasti dan ribuan lagi masih di peringkat kajian.

Mohammad Yusof berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensinya Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sentiasa membuka pintu kepada mana-mana usahawan yang memerlukan bantuan untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam bidang bioekonomi.

Beliau berkata pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan termasuk dana, latihan dan kepakaran kepada usahawan berminat malah melaksanakan Jelajah Bioekonomi 2024 baru-baru ini bagi menyebar luas maklumat serta mencari usahawan bioekonomi berpotensi untuk dikembangkan.

“Potensi itu amat tinggi tetapi kita harap orang kita ini jangan hanya dengar dan lihat sahaja, jika usahawan atau syarikat itu ada hubungan bioekonomi datang kepada kita, ada banyak kemudahan terutama orang Sabah ini kita teroka sama-sama,” katanya.

Beliau berkata setakat ini di Sabah dan Sarawak, Bioeconomy Corporation telah membimbing 28 syarikat di bawah program BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) menyaksikan syarikat itu memperoleh banyak manfaat antaranya persijilan, ujian makmal, pengkomersialan, pengecualian, harta intelek, latihan dan inovasi.

Pengarah Tamara Nanotech (M) Sdn Bhd Syakur Mohd Suhaimi berkata melalui program BBA bersama MOSTI dan Bioeconomy Corporation, syarikat itu dapat berkembang daripada sebuah syarikat yang sekadar menanam dan menjual halia mentah kepada sebuah syarikat mengeksport produk halia hingga ke pasaran Eropah.

“Dengan program BBA ini kita dapat enhance produk, kita freeze dry produk kita ini untuk kita hantar ke pasaran luar negara antaranya Eropah bagi kegunaan dalam bidang farmaseutikal. Pada masa ini kita mampu eksport kira-kira 250 tan setahun produk halia freeze dry.

“Bukan mudah pada mulanya tetapi dengan bantuan MOSTI dan Bioeconomy Corporation antaranya kita mampu kembangkan produk kita dalam bioekonomi ini, Kita juga sedang berbincang bersama untuk meneroka peluang dan produk baharu dalam bioteknologi ini,” katanya.

Beliau berkata pendedahan kepada sains, teknologi dan bioteknologi itu perlu dilakukan dengan agresif bagi membolehkan lebih ramai rakyat di negara ini memahami seterusnya memanfaatkan bidang bioekonomi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan