AM

LZS SASAR KUTIPAN ZAKAT PERNIAGAAN RM191 JUTA TAHUN INI

03/04/2024 09:56 PM

SHAH ALAM, 3 April (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM191 juta tahun ini, peningkatan sebanyak RM15 juta berbanding tahun lepas.

Ketua Pegawai Operasinya Ahmad Fadhil Hassan berkata sasaran itu boleh dicapai, mengambil kira ribuan entiti perniagaan yang mempunyai potensi besar untuk diteroka LZS di Selangor.

“Jika ditinjau kepada potensi sebenar zakat perniagaan, hakikatnya Selangor dengan ribuan entiti perniagaan masih mempunyai potensi besar untuk diterokai.

“Maka, LZS sentiasa menyasarkan peningkatan dalam kutipan zakat perniagaan saban tahun, sesuai dengan potensi besar yang wujud di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan 2024 di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 42 syarikat termasuk tiga pengeluar zakat individu menyerahkan zakat perniagaan masing-masing berjumlah RM6.11 juta.

Mengenai sasaran kutipan zakat harta dan zakat fitrah untuk bulan Ramadan pula, Ahmad Fadhil berkata LZS menyasarkan kutipan masing-masing sebanyak RM220 juta dan RM40 juta bagi kedua-dua zakat itu tahun ini.

Pada majlis sama, LZS turut menyerahkan bantuan zakat sebanyak RM5.86 juta dengan RM5.71 juta akan disalurkan kepada 1,904 pelajar asnaf bagi pembelian komputer riba.

Selain itu, tiga individu turut menerima bantuan perubatan daripada wang zakat iaitu Shakira Chong Abdullah sebanyak RM41,940 bagi rawatan kanser, manakala Maslinatunniza Mansor dan Ariq Rifqi Huzaini masing-masing mendapat RM32,946.60 dan RM20,000 seorang, untuk bantuan sakit kulit kronik serta bagi pembayaran tunggakan bil pembedahan.

Ahmad Fadhil berkata Pertubuhan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia pula menerima sumbangan zakat bagi bantuan fisabilillah berjumlah RM50,000.

Sementara itu, sebanyak enam syarikat menerima Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF), sebagai tanda penghargaan kerana bersama-sama LZS menyantuni golongan asnaf melalui komitmen menunaikan zakat perniagaan dan zakat pendapatan.

IKTIRAF diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai penghargaan LZS atas kesetiaan syarikat korporat menunaikan zakat perniagaan dan majikan yang komited melaksanakan Skim Potongan Gaji (SPG) bagi kakitangannya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan