AM

TELEKUNG, KEK KENANGAN TERAKHIR AQIF - IBU

31/03/2024 05:13 PM

TELUK INTAN, 31 Mac (Bernama) -- "Arwah ada menghadiahkan saya sepersalinan telekung dan sebiji kek sempena hari jadi saya baru-baru ini, itu kenangan terakhir," demikian luahan ibu Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni.

Megat Ashman Aqif, 21, seorang daripada pelajar Malaysia yang menuntut di University of Canterbury  terkorban dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand semalam.

Ibu Allahyarham, Noor Aishah Abdul Latif ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Melayu, Langkap di sini hari ini berkata dia baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada 12 Mac lepas manakala Megat Ashman Aqif meraikan hari lahir pada 8 Mac. 

"Arwah buat surprise hantar kek (menerusi perkhidmatan penghantaran Lalamove) sempena  ulang tahun kelahiran saya.

"Saya ada bercakap tak perlulah Qif (nama timangan Megat Ashman Aqif) belikan telekung, patut simpan, duit banyak nak pakai tapi dia cakap tak apa ibu, Qif nak berkat ibu doakan untuk Qif," katanya.

Noor Aishah berkata Allahyarham Megat Ashman Aqif bekerja sambilan di Christchurch semasa cuti semester dan arwah ada kirim duit belanja dan kali terakhir kami berbual kira-kira sejam pada Selasa lepas menerusi panggilan video aplikasi WhatsApp.

"Allahyarham ada meminta doakan dia kerana dia akan menghadapi peperiksaan. Tiada apa-apa perubahan pada arwah macam biasa sahaja berbual. Setiap minggu arwah akan buat panggilan video.

"Cuma menurut abang sulungnya arwah ada menghantar mesej di WhatsApp baru-baru ini berbual-bual, kebiasaannya jarang sangat arwah mesej abangnya," katanya.

Noor Aishah berkata kali terakhir bertemu anaknya itu pada Julai tahun lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa menghantarnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perdagangan di New Zealand.

"Arwah ada beritahu nak pulang bercuti sempena Aidilfitri tapi saya kata tak perlulah (balik ke Malaysia) baru lagi pergi ke sana," katanya.

Noor Aishah berkata dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu kira-kira 11 pagi semalam.

"Aqif anak yang baik, Allah pinjamkan saya selama 21 tahun, (meninggal dunia) dalam bulan Ramadan dia sedang berpuasa," katanya yang tidak dapat menahan sebak atas pemergian anak kedua dari lima beradik itu.

Terdahulu, Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan memaklumkan dua pelajar Malaysia maut dalam nahas jalan raya pada 1.45 tengah hari waktu tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan