AM

BAPA MEGAT ASHMAN AQIF BERLEPAS KE NEW ZEALAND MALAM INI, HASRAT BAWA JENAZAH PULANG KE TANAH AIR - DATUK

31/03/2024 03:01 PM

IPOH, 31 Mac (Bernama) -- Datuk Allahyarham Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, pelajar Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand semalam memaklumkan bapa penuntut itu akan berlepas ke New Zealand malam ini bagi urusan pengurusan jenazah anaknya.

Megat Khashusaini Megat Abd. Rahman, 85, berkata anaknya Megat Irman Jefni,49, ada memaklumkan hasratnya membawa pulang jenazah anaknya untuk dikebumikan di Perak namun keputusan itu belum muktamad.

“Kami ada cadang, biarlah jenazah dikebumikan di sana kerana jika dibawa balik prosesnya rumit tetapi katanya dia mahu arwah ada ‘tanda’ di sini dan mudah untuk melawat kuburnya nanti, namun semua terserah pada keputusan dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Gunung Rapat di sini hari ini.

Menceritakan detik dia dan isteri diberitahu ketiadaan Allahyarham, pesara itu berkata anaknya menelefonnya meminta datang ke rumah di Meru semalam katanya ada ‘kejutan’ untuk diberitahu.

Apabila sampai ke rumah anaknya itu, anaknya terus memeluknya dan memberitahu cucunya sudah meninggal dunia. 

“Saya lihat dia (Megat Irman Jefni) tetap masih menelefon Aqif walaupun sebelum itu dia telah diberitahu Aqif telah tiada, telefon Aqif masih berdering tapi tidak ada siapa yang menjawab panggilan itu,” katanya sebak.

Megat Khashusaini berkata dia difahamkan Megat Ashman Aqif berkonvoi bersama dua kenderaan lain yang terdiri rakan-rakannya sebelum kenderaan yang dipandu cucunya di belakang sekali terpisah dari kumpulan konvoi.

“Rupa-rupanya kenderaan arwah telah terlibat dalam kemalangan, difahamkan berlanggar dengan sebuah motosikal dan terbabas,” katanya.

Nor Hanita Meor Mohd Nor, 62, pula berkata Megat Ashman Aqif yang baru menyambut hari lahir pada 8 Mac lepas seorang yang periang dan akan memberitahu setiap kali keluar ke mana-mana sejak belajar di New Zealand pada Julai tahun lepas.  

“Dia ada beritahu dia dapat praktikal di sebuah firma akaun di sana dan beritahu dia tidak akan balik ke tanah air sampai habis belajar, kali terakhir dia menghubungi kami kelmarin dan bertanya berbuka di mana,” katanya.                 

Megat Ashman Aqif yang merupakan anak kedua dari lima beradik seorang yang sering mengajak rakan-rakannya bersolat menurut cerita rakan-rakannya.

Cucunya itu juga merancang berkahwin di rumah datuk dan neneknya.

Sementara itu bapa Allahyarham tidak bersedia untuk bercakap dengan pemberita akibat terlalu sedih.

Semalam, Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan memaklumkan dua pelajar Malaysia maut dalam nahas jalan raya pada 1.45 tengah hari waktu tempatan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan