AM

KPT BANTU URUS BAWA PULANG JENAZAH DUA PELAJAR MALAYSIA MAUT DI NEW ZEALAND

30/03/2024 09:18 PM

LUMUT, 30 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan bantuan keperluan pengurusan membawa pulang jenazah dua pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya sedang mendapatkan maklum balas dan maklumat lengkap berhubung pelajar terlibat daripada Kementerian Luar (Wisma Putra).

"Sehingga kini kita belum dapat maklumat lengkap berkaitan dengannya. Pihak kementerian akan membantu perkara berkaitan dengan keperluan yang ada bagi memastikan supaya proses termasuk penghantaran (jenazah) dan sebagainya.

"Bagaimanapun kita serahkan kepada keluarga terlebih dahulu kerana perbincangan perlu diadakan dengan keluarga terbabit bagaimana pengurusan jenazah perlu dilakukan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama UMNO Bahagian Lumut di Maahad Tahfiz Bayt Al Ikhlas di sini hari ini.

Menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga terlibat, Zambry berkata kementeriannya juga sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung tiga lagi pelajar Malaysia yang cedera dalam kejadian itu. 

Terdahulu, Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan memaklumkan dua pelajar Malaysia maut dalam nahas jalan raya pada 1.45 tengah hari waktu tempatan.

Menurut kenyataan itu, nahas berkenaan melibatkan lima penuntut Malaysia dan mangsa yang cedera diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington ketika dihubungi Bernama mengesahkan pelajar yang meninggal dunia ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa, kedua-duanya adalah penuntut University of Canterbury.

Mangsa yang cedera ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, juga penuntut daripada universiti sama sementara Muhamad Faris Mohd Fairusham adalah penuntut Victoria University of Wellington.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan