AM

PENDUDUK TEMPATAN TERKEJUT DENGAN KEMALANGAN NGERI RAGUT TIGA NYAWA DI NEW ZEALAND

30/03/2024 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) --  Tiga maut dalam dua nahas melibatkan dua kenderaan dan sebuah motosikal di lebuh raya State Highway 8 dekat Tasik Pukaki hari ini, lapor New Zealand Herald.

Tragedi ini yang merupakan dua kemalangan serius  yang berlaku dalam masa kurang dua jam di atas jalan yang sama melibatkan 20 individu dilaporkan mengejutkan masyarakat setempat dan agensi menyelamat. 

Terdahulu, satu kemalangan dekat Tasik Tekapo mengakibatkan dua penuntut Malaysia maut dan tiga lagi diterbangkan ke Hospital Christchurch untuk mendapatkan rawatan segera seperti yang disahkan Kementerian Luar (Wisma Putra) dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington. 

Pelajar berkenaan adalah sebahagian daripada kumpulan penuntut daripada University of Canterbury and Victoria University of Wellington yang merupakan antara mangsa dalam kemalangan itu, menurut laporan itu

Sementara itu Insp Craig McKay, seorang pengurus operasi dan sokongan daerah polis dipetik oleh laman sesawang rasmi Polis New Zealand menggambarkan lokasi kemalangan “amat menyukarkan” dengan beberapa mangsa yang cedera perlu dikeluarkan daripada  kenderaan terlibat oleh kru penyelamat.

Usaha menyelamat  dalam kemalangan itu melibatkan tiga helikopter dan membawa kepada siasatan yang kompleks dan masih berjalan  untuk mencari punca nahas.

“Kami meminta kepada semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati pada hujung minggu ini. Sila ambil masa anda serta mengambil rehat secukupnya dan memandu mengikut kesesuaian keadaan. Nahas seperti ini menunjukkan bagaimana mudahnya untuk sesuatu keadaan bertukar menjadi amat buruk,” kata McKay dalam satu kenyataan. 

Kemalangan ini menyebabkan penutupan lebuh raya State Highway 8 dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menjangka akan berlaku kelewatan dan lencongan, kata Waka Kotahi NZTA Canterbury & West Coast di laman X (twitter).

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan