AM > BERITA

Kompleks Latihan Dan Pemulihan Oku Kimanis Berjaya Lahir Pelatih Berkemahiran

30/11/2023 07:10 PM

LABUAN, 30 Nov (Bernama) -- Kompleks Latihan dan Pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU) Kimanis berjaya melahirkan pelatih berkemahiran menerusi program latihan intensif yang dijalankan.

Pengetuanya Dg Suhaila Pg Suhaimi berkata program yang berlangsung antara sembilan hingga 24 bulan itu membolehkan individu dalam pelbagai kategori OKU berkhidmat dalam sektor perkhidmatan.

Kompleks yang terletak di Kimanis, Papar, Sabah itu menawarkan empat program komprehensif iaitu bakeri, kemahiran komputer, jahitan dan pembuatan perabot rotan.

Beliau turut memuji para pelatih atas semangat, komitmen dan disiplin mereka sepanjang tempoh menjalani latihan itu. 

Menyentuh mengenai bakal majikan, beliau menggesa agar mereka membuang sebarang tanggapan dan stigma awal mengenai keupayaan pelatih OKU, sambil menekankan keupayaan pelatih untuk memenuhi kehendak majikan.

"Kami berharap para majikan akan mengetepikan stigma mereka bahawa pelatih kurang upaya ini tidak dapat memenuhi jangkaan mereka," katanya kepada Bernama hari ini.

Baru-baru ini Persatuan Penggiat Media Labuan diketuai Penasihatnya Azman Sipan telah melawat kompleks itu.

Dg Suhaila berkata pada masa ini kompleks itu menjalin kerjasama dengan Kolej ATI dan SJ Tailor dan beliau berharap untuk bekerjasama dengan lebih banyak institusi dan pemain industri lain dalam masa terdekat.

"Kompleks Latihan dan Pemulihan Orang Kurang Upaya ini menjadi bukti potensi dalam setiap individu, menunjukkan bahawa dengan latihan dan sokongan yang tepat, individu OKU boleh menyumbang secara bermakna kepada pelbagai industri," katanya.

"Pelatih OKU terutamanya mereka yang tidak mempunyai halangan komunikasi, menunjukkan kemahiran dalam bahasa Melayu dan Inggeris, memudahkan komunikasi dan membolehkan majikan memberikan tugas dengan lebih cekap,” katanya.

Dg Suhaila juga bangga dengan pencapaian pelatih di pusat itu apabila mendedahkan lebih 10 pelatih menyertai Sukan Para Malaysia (Para Sukma), malah seorang atlet berjaya memasuki Sukan Paralimpik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan