AM

MENGHIDUPKAN SEMULA ALUNAN TAPI, KHAZANAH LUN BAWANG YANG SEMAKIN DILUPAKAN

24/05/2023 09:29 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 24 Mei (Bernama) -- “Ticu mu do letu, Rimud do tu ayu (Jari jemarimu yang lembut, Senyumanmu yang manis),” demikian sebahagian daripada lirik Busak Baku, lagu rakyat etnik Lun Bawang di Bumi Kenyalang ini.

Lagu yang merujuk kepada sejenis bunga itu, didendangkan bersama alunan alat muzik tradisional dikenali sebagai tapi, lembut berkumandang di Tebingan Kuching yang menjadi pentas sambutan Minggu Perpaduan Negara di sini.

Gabungan dendangan mempesonakan pemuzik tradisional Lun Bawang, Rining Peter Paris, 50, lirik Busak Baku serta petikan tapi itu menghentikan langkah pejalan kaki di situ yang terpegun dan tertanya-tanya alat muzik apa yang dimainkan kerana ia mirip satu lagi alat muzik tradisional Sarawak iaitu sape, tetapi saiznya lebih kecil. 

“Inilah tapi, khazanah Lun Bawang yang semakin dilupakan masyarakat. Kami mahu ia dipelihara dan ditonjolkan terutamanya kepada orang ramai yang tidak pernah tahu kewujudan alat muzik ini,” kata Pengerusi Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) Cawangan Kuching Dr Mohd Shafiq Abdullah @ Padan Kapong.

Dikenali sebagai Padan dalam kalangan komuniti Lun Bawang, beliau berkata usaha menghidupkan dan memperkenalkan semula tapi giat dilakukan menerusi bengkel pencarian protege atau anak didik bertujuan meneruskan legasi alat muzik tradisional itu. 

“Bengkel diadakan di Lawas serta mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak. Kini kami sudah mendapat lima protege berumur bawah 18 tahun,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di reruai Lun Bawang sempena acara Minggu Perpaduan di sini baru-baru ini. 

Menurutnya peserta bengkel itu bukan sahaja diajar cara memetik tapi, malah mereka turut diberi pendedahan pembuatan tapi yang diperbuat daripada kayu pelaie serta berukuran kira-kira 1.2 meter panjang dan 7.6 sentimeter lebar.

“Jadi mereka sebenarnya bermain tapi milik mereka sepanjang bengkel itu. Bukan mudah untuk mencari protege kerana bermain alat muzik ini memerlukan skil tertentu,” katanya tapi hanya mempunyai dua tali, manakala sape mempunyai empat hingga enam tali. 

Mohd Shafiq berkata tapi sering dimainkan ketika musim menuai, perayaan atau menyambut tetamu dan ia akan diiringi dengan tarian berserta bait lagu seperti pantun. 

Sekilas pandang, ramai mungkin beranggapan masyarakat Lun Bawang ini sebagai orang Cina kerana raut wajah serta tona kulit yang cerah, namun hakikatnya mereka tergolong dalam kelompok Orang Ulu dengan populasi kira-kira 20,000 di Sarawak, manakala di Sabah, Brunei dan Indonesia kaum ini dikenali sebagai Lun Dayeh atau Lun Dayah.

Terkenal dengan kekuatan mereka sebagai pahlawan, penyerang dan pemburu kepala di zaman lampau, komuniti Lun Bawang pada asalnya mendiami kawasan utara Sarawak seperti Lawas dan Limbang. 

Menyentuh mengenai perkembangan muzik tapi, Rining berkata seorang anak Sarawak, Belle Sisoski, 17, yang menggunakan elemen tapi dalam lagunya berjudul Stop Your Game berjaya menjadi finalis mewakili Malaysia bagi Pertandingan Lagu Komanwel (CSC) yang sedang berlangsung secara dalam talian hingga 31 Mei ini. 

Menerusi laman sesawang rasmi pertandingan itu, Belle mendapat undian terbanyak sekali gus menduduki tangga teratas mengalahkan Emmanuel Carlos Saint Omer dari Saint Lucia serta Emma Cutajar dari Malta, masing-masing di tangga kedua dan ketiga setakat semalam. 

Tapi milik saya ini sudah menjangkau usia 60 tahun dan Belle ada menyatakan hasrat agar saya menghasilkan tapi yang serupa seperti ini untuk dimainkan dalam lagunya. Jadi, dalam dunia ini hanya ada dua tapi yang mempunyai corak sama,” katanya yang turut meminta orang ramai menyokong kreativiti anak muda itu dengan mengundi lagu berkenaan di pautan https://www.commonwealthsongcontest.com . 

Pemuzik berusia 50 tahun itu, berkata usaha anak muda berkenaan memberi peluang kepada dunia mengenali muzik tapi sekali gus menjadikannya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. 

Selain menampilkan bunyi tapi yang mengasyikkan, reruai Lun Bawang turut mempamerkan pakaian dan barangan hantaran perkahwinan serta makanan tradisional komuniti itu seperti nuba’ laya iaitu nasi yang dibungkus dalam daun nyirik dan kuih pinaram benak yang diperbuat daripada beras.

Kembara Minggu Perpaduan bakal melabuhkan tirai di bandar raya ini pada Jumaat dan diteruskan di beberapa lokasi di negeri lain hingga 28 Mei ini seperti Bertam Square, Pulau Pinang; Dewan Masyarakat Papar, Sabah; Dataran Tasik Kluang, Johor dan Pusat Rekreasi Pantai Balok, Kuantan, Pahang. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan