AM

20 MAHASISWA OKU TEMPATAN TERIMA SUMBANGAN AKAUN SIMPAN SSPN

08/05/2023 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Seramai 20 pelajar kategori Orang Kurang Upaya (OKU) daripada institut pengajian tinggi (IPT) tempatan menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM10,000 daripada Perbadangan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata sumbangan itu diberikan dalam bentuk deposit akaun Simpan Skim Simpanan Pendidikan Tinggi Nasional (Simpan SSPN) Prime kepada masing-masing 10 mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM).

“Usaha PTPTN ini sewajarnya dicontohi oleh agensi lain dengan menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk pemberian sumbangan dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara.

Ia sekali gus akan membantu meningkatkan kesedaran budaya menabung bagi tujuan pendidikan tinggi. Saya mengalu-alukan semua pihak untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang lebih bersepadu bersama PTPTN bagi kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2023 PTPTN yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan itu Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Terdahulu, Ahmad Dasuki dalam ucapan aluannya berkata sumbangan kepada UIAM dan UM merupakan salah satu bentuk kerjasama strategik dalam aspek pendidikan memandangkan kedua-kedua IPT tersebut telah menandatangani memorandum persefahaman dengan PTPTN.

“Di sebalik tanggungjawab PTPTN dalam memperkasa agenda pendidikan tinggi negara, PTPTN juga sentiasa cakna dan prihatin dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR),” katanya.

Sementara itu, pelajar OKU pendengaran Muhd Ammeer Badrul Hisham, 19, berkata inisiatif PTPTN itu amat bagus kerana ia membantu beliau dan mahasiswa istimewa yang lain membina masa depan yang cerah. 

Pelajar Asasi Undang-Undang dari UIAM itu berkata ibu bapanya juga menggalakkan beliau untuk menabung ke dalam akaun Simpan SSPN memandangkan kebanyakan pelajar terpaksa menanggung hutang selepas tamat pengajian.

Siti Nur Mardhiyyah Zulkfli, 20, pula berkata program CSR oleh PTPTN itu prihatin terhadap golongan mahasiswa sepertinya yang memerlukan lebih wang untuk membeli barang keperluan khas mereka.

Beliau yang merupakan pelajar OKU fizikal turut menggalakkan orang ramai untuk membuka akaun Simpan SSPN supaya dapat menerima banyak manfaat pada masa sekarang mahupun pada masa hadapan.

“Macam saya, bantuan ini dapat bantu saya sebab saya mungkin perlu membeli keperluan saya sendiri sebagai pelajar istimewa contohnya ubatan dan keperluan khas yang lain,” katanya.

Selain itu, PTPTN kini sedang menganjurkan Kempen Cabutan WOW! Syoknya Raya untuk pendeposit Simpan SSPN bermula 1 Mac hingga 31 Mei ini dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah hampir RM50,000 kepada 23 pemenang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan