AM

Presiden Singapura adakan lawatan negara tiga hari ke Malaysia bermula Isnin

19/03/2023 07:43 PM

PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Presiden Singapura Halimah Yacob akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia dari 20 hingga 22 Mac.

Ia adalah lawatan negara pertama Presiden Republik Singapura ke Malaysia sejak tahun 2013.

Halimah akan diiringi suami Mohamed Abdullah Alhabsee.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberikan sambutan negara kepada Halimah di Istana Negara pada 21 Mac.

Selepas itu, beliau akan mengadap Al-Sultan Abdullah dan menghadiri Majlis Santapan Negara.

Halimah turut diiringi delegasi yang terdiri daripada Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan dan Hal Ehwal Luar Dr. Mohamad Maliki Osman, Menteri Negara bagi Perdagangan dan Industri Low Yen Ling dan pegawai kanan kerajaan Singapura.

Semasa lawatan itu, Halimah juga dijadualkan menerima kunjungan hormat daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan akan mengukuhkan lagi hubungan baik dan kerjasama pelbagai bidang di antara kedua-dua negara.

Pada tahun 2022, Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan bernilai RM367.53 bilion (USD83.53 bilion) dengan peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan