BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
AM

MAHA 2022: 50 pelanggan bertuah dapat manfaat jualan 'Happy Hour NAFAS'

06/08/2022 06:04 PM

SERDANG, 6 Ogos (Bernama) -- Seramai 50 pengunjung Pemeran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 hari ini menjadi pelanggan bertuah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) apabila dapat membeli ayam dengan potongan sehingga 75 peratus melalui jualan “Happy Hour”.

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob berkata melalui jualan “Happy Hour” yang diadakan secara berkala setiap hari mulai hari ini hingga 14 Ogos pelanggan bertuah dapat menikmati empat produk ayam jenama Peladang dengan harga serendah RM5 sebungkus. 

“Pada hari ini, kita berjaya menjual 100 bungkusan produk peladang yang merupakan Ayam Potong 1 kilogram (kg), Ayam Potong 1.2kg, Peha Ayam Tanpa Tulang 1kg dan Filet Ayam 1kg.

Kalau di luar harganya boleh mencecah sehingga RM20 (sebungkus),” katanya selepas merasmikan Jualan “Happy Hour” di reruai NAFAS di MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.

Sementara itu, Zamri berkata NAFAS turut membawa NAFAS Cafe ke MAHA 2022 kali ini untuk memberi peluang kepada pengunjung menikmati keunikan minuman daripada produk Peladang.

Katanya selain menjual minuman, NAFAS Cafe berkenaan juga mempromosikan produk minuman 3 dalam 1 seperti kopi, coklat dan teh tarik yang kini berada di pasaran dan latte yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Beliau berkata antara minuman terlaris dijual pada hari ini ialah minuman Kopi O 3 dalam 1 kerana aroma dan rasa adunan serbuk kopi, gula pasir dan gula perang di dalamnya menepati selera ramai pelanggan.

MAHA 2022 yang akan berlangsung sehingga 14 Ogos ini dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.  

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan