BERITA COVID–19   Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | Trend kes COVID-19 di Labuan kembali meningkat | 
AM

Jelajah AKM Sarawak tonjol tarian, persembahan pelbagai etnik

05/08/2022 05:49 PM

KUCHING, 5 Ogos (Bernama) -- “Bukan mukun sebarang mukun, mukun kamek berisi beras, bukan pantun sebarang pantun, pantun kamek minta dibalas,” demikian pembuka pantun yang dilagukan ketika persembahan ‘Nopeng’.

Langkah tari Nopeng yang merupakan tarian Melayu Sarawak, disajikan kepada pengunjung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sarawak menerusi bengkel dan demonstrasi etnik Sarawak hari ini.

Dianjurkan Majlis Seni Sarawak (MSS), bengkel berkenaan mendapat sambutan hangat daripada pengunjung untuk menyelami tarian asas tradisional etnik di Bumi Kenyalang seperti Orang Ulu, Ajat Iban, Melanau dan Melayu. 

Ketua Bahagian Pembangunan Seni MSS Easter Melebeh berkata bermukun ialah apabila gendang dipalu dan rentak tari bermula maka bertingkah pantun antara pemalu gendang dalam majlis keramaian tradisional Melayu Sarawak.

“Selain Nopeng, pengunjung dapat mempelajari tarian asas yang betul oleh pelbagai etnik di sini kerana setiap suku kaum berbeza langkah tarinya dan ini selari dengan bulan Kebangsaan yang membawa tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

“Sarawak ada pelbagai etnik, jadi keharmonian ini yang mahu kita tonjolkan menerusi kepelbagaian budaya yang ada di sini,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata bengkel berkenaan bertujuan memelihara, memulihara dan menggalakkan golongan muda untuk mengenali jenis tarian di negeri ini, bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia. 

Jelajah AKM ini berkonsepkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dengan menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa Keluarga Malaysia itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Sepanjang tiga hari jelajah AKM Sarawak yang bermula hari ini, pelbagai acara dan aktiviti disediakan dengan penglibatan 28 agensi perkhidmatan awam yang menyediakan pelbagai bantuan dan perkhidmatan.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan