BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
AM

Ahli UMNO perlu sokong kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri - Annuar

24/06/2022 01:29 AM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Ahli-ahli UMNO sewajarnya menyokong kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri apabila berjaya memimpin negara dengan menyelesaikan pelbagai isu yang amat mencabar yang tidak pernah dialami mana-mana perdana menteri sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan ahli parti yang memperlekehkan Perdana Menteri Kesembilan itu tidak menunjukkan semangat kepartian yang baik.

“Tak malu ke orang parti kita sendiri cuba melemahkan PM (Perdana Menteri) daripada parti kita yang hanya ada 38 kerusi?,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Annuar berkata kepimpinan Ismail Sabri seharusnya mendapat sokongan kerana beliau telah mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik COVID-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerjasama kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU).

"Perkara-perkara ini meletakkan PM Datuk Seri Ismail Sabri dari UMNO dalam situasi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana PM lain. Jadi tidak wajar penilaian yang merendah-rendahkan PM dari parti sendiri, PM yang diendors oleh UMNO dan mewakili parti UMNO," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

Annuar berkata walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan (handicap) dalam membuat penilaian itu.

"Dia (Nur Jazlan) bukan seorang yang berada dalam kerajaan jadi banyak benda dia tak tahu... dia bukan seorang yang rapat dengan PM, lagilah banyak dia tak tahu, apatah lagi kalau dia ada niat, lagilah dia terpengaruh dengan kecenderungan politik dia. 

Macam mana ada PM mewakili parti yang hanya ada 38 kerusi dan berhempas pulas dengan COVID-19 serta cabaran ekonomi, sepatutnya kita bantu dan bersimpati tetapi sebaliknya ada yang buat tuduhan tidak berasas," kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Annuar turut mempersoalkan tindakan ahli UMNO yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti sendiri sedangkan ada pihak lain yang memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan