BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
AM

Jemaah haji dinasihat tidak berniaga, promosi produk di hadapan Kaabah

21/06/2022 02:57 PM

PUTRAJAYA, 21 Jun (Bernama) -- Jemaah haji Malaysia dinasihatkan agar tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan atau mempromosikan produk ketika berada di hadapan Kaabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata setiap jemaah yang juga ‘tetamu Allah’ seharusnya memanfaatkan tempoh berada di Tanah Suci untuk menjalankan ibadah haji agar mendapat haji yang mabrur (diterima Allah).

“Sepatutnya fokus kepada ibadah haji lebih-lebih lagi depan Kaabah, tempat mustajab untuk berdoa. Sepatutnya perkara seperti ini (berniaga dan promosi) tidak patut berlaku.

“Perbuatan seperti ini kadang-kadang boleh mengganggu jemaah haji lain untuk beribadah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 kepada 148 kakitangan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini.

Tular di media sosial baru-baru ini seorang jemaah haji mempromosikan produk jualannya di hadapan Kaabah menerusi sebuah video berdurasi 43 saat.

Dalam ucapannya pada majlis tersebut, Idris mahu penjawat awam di bawah seliaannya membudayakan tiga konsep iaitu budaya kerja cemerlang, mencapai matlamat hala tuju pentadbiran dan amal jama’i (kerjasama) sebagai satu keluarga.

“Kita semua adalah duta agensi Islam, apa-apa jua yang kita lakukan akan memberikan kesan kepada wajah Islam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan