BERITA COVID–19   Hampir 13.2 juta kanak-kanak di AS dijangkiti COVID-19 | Filipina kesan jangkitan tempatan subvarian Omicron BA.2.12.1  | 30 peratus kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi COVID-19 | Kes baharu COVID-19 meningkat 119 peratus minggu lepas - KP Kesihatan | Singapura lapor 3 kes tempatan varian Omicron BA.4, BA.5 | 
AM

Segerakan kerja bersih, mendalamkan sungai - Tengku Hassanal

15/05/2022 12:36 AM

KUANTAN, 14 Mei (Bernama) -- Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya kerja membersih dan mendalamkan sungai serta saliran di negeri ini yang cetek akibat banyak mendapan kesan banjir sebelum ini disegerakan. 

Baginda bertitah kerajaan negeri dan Persekutuan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) perlu bekerjasama dalam melaksanakan kerja tersebut yang mesti dilakukan sebelum musim Monsun Timur Laut bermula pada hujung tahun ini.

Kerja tersebut, menurut Tengku Hassanal juga perlu disegerakan di Janda Baik, Bentong ekoran sungai semakin cetek menjadi punca utama banjir kilat di kawasan itu pada Rabu lepas (11 Mei) melibatkan lima kampung termasuk Kampung Sum-Sum, Kampung Cheringin dan Kampung Chemperoh.  

"Saya juga bertitah agar disegerakan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bentong, termasuklah pembinaan Stesen Telemetri dan Stesen Amaran Banjir di huluan kawasan Janda Baik," titah baginda menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Banjir kilat di Janda Baik disebabkan hujan lebat luar biasa dengan kelebatan 87.5 milimeter (mm) berlaku selama tiga jam bermula pada 4 pagi hari kejadian.

Tengku Hassanal juga telah berkenan mencemar duli menyantuni mangsa banjir di Janda Baik semalam, untuk mengurniakan sumbangan selain turut melawat lokasi kejadian serta mendengar taklimat berhubung tindakan susulan segera tebatan banjir untuk mengurangkan risiko bencana itu. 

-- BERNAMA 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan