BERITA COVID–19   Hampir 13.2 juta kanak-kanak di AS dijangkiti COVID-19 | Filipina kesan jangkitan tempatan subvarian Omicron BA.2.12.1  | 30 peratus kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi COVID-19 | Kes baharu COVID-19 meningkat 119 peratus minggu lepas - KP Kesihatan | Singapura lapor 3 kes tempatan varian Omicron BA.4, BA.5 | 
AM

Op Selamat 18: Jenayah pecah rumah seluruh negara berkurangan

14/05/2022 11:17 PM

SEREMBAN, 14 Mei (Bernama) -- Kadar jenayah pecah rumah pada Ops Selamat 18 sempena perayaan Aidilfitri sejak 29 April hingga 8 Mei di seluruh negara, mencatatkan penurunan dengan 350 kes berbanding Ops Selamat pada 2019 iaitu sebanyak 790 kes.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Aidi Ismail berkata penurunan sebanyak 440 kes itu, jelas menunjukkan peranan dan kesedaran orang ramai yang mula menjaga keselamatan rumah masing-masing.

“Ia termasuklah dengan cara memasang  penggera keselamatan dan kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman, serta kawalan secara berkala pihak berkaitan.

“Terima kasih pada semua masyarakat yang bukan sahaja memberi maklumat kepada pihak polis, tetapi menjaga kediaman masing-masing sepanjang perayaan Aidilfitri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Negara, yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Datuk Ruslan Khalid di sini hari ini.

Dalam pada itu Aidi berkata orang ramai dinasihatkan untuk tidak leka dan tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, meskipun terdapat beberapa kelonggaran berhubung langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berkuat kuasa pada 1 Mei lepas.

Jelasnya pihak berkuasa juga akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan pematuhan SOP di tempat yang sepatutnya adalah dipatuhi.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan