BERITA COVID–19   Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 diwarta sebagai barang kawalan mulai hari ini | Omicron: Warga emas, individu komorbid disaran elak perjalanan ke luar negara | Agong gusar penularan varian Omicron, nasihat rakyat ambil vaksin, berdisiplin, patuhi SOP - Istana Negara | Tiada keperluan tutup Parlimen, KKM ada kerangka tangani COVID-19 - Khairy | Urusan perolehan vaksin dilaksana secara teratur - PAC | 
AM

Kes jenayah rekod penurunan 21.4 peratus pada 2020 - Mohd Uzir

26/11/2021 12:48 AM

KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Kes jenayah tahun lepas menurun 21.4 peratus kepada 65,623 berbanding 83,456 pada 2019, antaranya disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata kes terbabit terdiri daripada jenayah kekerasan dan jenayah harta benda dengan jenayah kekerasan merekodkan penurunan 19.5 peratus kepada 13,279 kes pada 2020 dan jenayah harta benda pula menurun 21.8 peratus kepada 52,344 kes bagi tempoh yang sama.

“Antara punca penurunan kes jenayah adalah disebabkan sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah dan negeri berikutan PKP yang telah membataskan pergerakan individu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata aktiviti penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa dan kesedaran masyarakat dalam mempertingkat perlindungan daripada ancaman jenayah turut menyumbang kepada penurunan kes.

Beliau berkata berdasarkan rekod kes jenayah kekerasan mengikut daerah pentadbiran, didapati Seremban di Negeri Sembilan mencatat peratusan penurunan tertinggi tahun lepas iaitu 40.6 peratus kepada 326 kes berbanding 549 pada 2019.

Ia diikuti Johor Bahru (-36.7 peratus) dan Melaka Tengah (-26.3 peratus) manakala untuk jenayah harta benda, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang mencatat penurunan tertinggi sebanyak 35.8 peratus kepada 982 kes tahun lepas berbanding 1,529 pada 2019. 

Mohd Uzir berkata sebaliknya, bilangan aduan kes jenayah siber yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tahun lepas meningkat 99.5 peratus kepada 20,805 berbanding 10,426 pada 2019.

“Antara aduan yang diterima adalah elemen lucah, palsu, jelik, sumbang dan mengancam,” katanya.

Beliau berkata kesemua elemen aduan menyaksikan peningkatan dengan yang tertinggi ialah elemen palsu iaitu sebanyak 117.6 peratus pada 2020.

Katanya sebanyak 6,637 aduan direkodkan tahun lepas untuk elemen palsu berbanding 3,050 pada 2019.

Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini menerbitkan Statistik Jenayah, Malaysia, 2021 yang memuatkan lapan statistik jenayah terpilih iaitu jenayah indeks, dadah, rasuah, alam sekitar, kesalahan trafik, jenayah siber, jenayah maritim dan pemulihan.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan