BERITA COVID–19   COVID: Kes baharu turun lagi, 5,097 kes dilaporkan Sabtu | Varian baharu COVID-19: Arab Saudi sekat penerbangan dari 7 negara benua Afrika | Varian baharu: Perancis, Arab Saudi, beberapa negara lain larang perjalanan dari Afrika | PKPD di Puspen Sungai Ruan, Raub dari 28 Nov hingga 11 Dis | PKPD di Puspen Sungai Ruan, Raub dari 28 Nov hingga 11 Dis | 
AM

Restoran Hameediyah beri penjelasan harga dua ekor sotong RM100

24/11/2021 09:31 PM

GEORGE TOWN, 24 Nov  -- Restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, Restoran Hameediyah yang tular menerusi media sosial kerana menjual dua ekor sotong goreng berharga RM100 hari ini mempertahankan harga tersebut berdasarkan kos bahan mentahnya.

Pengarah Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata beliau terpanggil untuk memberi penjelasan berhubung harga dua ekor sotong yang tular itu selepas restoran berkenaan menerima kecaman daripada warga maya sedangkan pihaknya membeli sotong segar pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram malah harga di pasaran sentiasa berubah-ubah.

"Harga sotong goreng itu tular selepas satu pasangan membeli dua set nasi berlaukkan sotong di restoran kami semalam dan kemudian seorang daripada mereka (pasangan itu) berkongsi di laman sosialnya sehingga mendapat perhatian ramai, sotong yang kami gunakan untuk hidangan sotong goreng apollo itu bukan murah.

"Sebenarnya harga kesemua makanan yang dijual di restoran kami disenaraikan dengan jelas termasuk hidangan sotong yang dijual antara RM10 dan RM150 seekor berdasarkan saiznya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sejak semalam tular menerusi media sosial seorang individu memuat naik gambar nasi beriani berlaukkan sotong dan sekeping resit yang memaparkan harga dua ekor sotong goreng di sebuah restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang adalah RM100.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan di restoran tersebut hari ini dan mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi mendapatkan maklumat serta harga kos dan jualan bagi sotong goreng berkenaan.

Beliau berkata sekiranya gagal mengemukakan maklum balas yang diminta, pengusaha boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan