BERITA COVID–19   UK, Jerman, Itali lapor kes COVID-19 babitkan varian Omicron | COVID: Makmal UNIMAS, CRC Sibu akan terus pantau varian baharu  | COVID: Kes baharu turun lagi, 5,097 kes dilaporkan Sabtu | Varian baharu COVID-19: Arab Saudi sekat penerbangan dari 7 negara benua Afrika | Varian baharu: Perancis, Arab Saudi, beberapa negara lain larang perjalanan dari Afrika | 
AM

Nic'sPop aiskrim buatan sendiri dengan rasa asli dapat sambutan baik

24/11/2021 04:27 PM

KUANTAN, 24 Nov -- Percubaan seorang peniaga mengetengahkan aiskrim perisa buah-buahan buatan sendiri yang dipelajari ketika mengikuti kursus sekitar tiga tahun lepas di ibu negara ternyata berbaloi apabila ia mendapat sambutan baik, malah aiskrimnya itu mempunyai peminatnya tersendiri di sini.

Pengasas Nic'sPop Nik Mohd Ruzaini Nik Mohd Adib, 39, berkata menerusi jenama berkenaan beliau menghasilkan lebih 10 perisa popsicle ice-cream atau lebih dikenali sebagai aiskrim batang iaitu durian, kurma, madu, cempedak, nanas, vanilla cookies, tembikai susu, coklat, mangga dan strawberi.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata aiskrim perisa durian, kurma dan cempedak merupakan produk premium keluarannya kerana menggunakan buah asli di samping ramuan lain untuk menghasilkan aiskrim iaitu bahan tenusu dan gula. 

"Bagi perisa aiskrim memang menggunakan buah-buahan sebenar supaya rasanya lebih lemak dan asli, seolah-olah bila kita gigit aiskrim itu terasa seperti sedang menikmati buah sebenar...saya memilih buah-buah itu kerana ia kegemaran ramai dan sesuai dijadikan aiskrim. 

"Cara asas menghasilkan aiskrim berkenaan memang saya belajar ketika mengikuti kursus pada 2018, namun ada yang diolah mengikut citarasa sendiri dan akhirnya percubaan itu berjaya memuaskan hati pelanggan," katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di sini hari ini. 

Mengimbau kembali penglibatannya dalam mengetengahkan Nic'sPop, beliau berkata ia merupakan perniagaan 'talian hayatnya' selepas mendapat dorongan isteri Fazlina Safri, 39, setelah banyak mencuba perniagaan lain seperti menjual produk kesihatan, baju dan tudung. 

Katanya selain simpanan sendiri, duit simpanan anaknya Nik Solihin, 11, turut dipinjam sebagai modal permulaan untuk membeli peralatan seperti mesin dan peti sejuk beku yang menelan belanja hampir RM20,000. 

Berkongsi cabaran menghasilkan pemanis mulut itu, Nik Mohd Ruzaini berkata ia memerlukan masa lama kerana perlu melalui proses sejuk beku selain beliau menghadapi limitasi dari segi memasarkan produk itu kerana segala-galanya dilakukan seorang diri. 

"Dari membeli bahan mentah, sehingga proses menghasilkan, membungkus dan mempromosikan semuanya  dilakukan sendiri dengan dibantu isteri apabila berkelapangan... selalunya proses penyediaan bermula pagi dan berakhir pada waktu malam," katanya. 

Anak jati Pahang itu berkata selain media sosial beliau turut meletakkan aiskrimnya di pasar raya sekitar Kuantan antaranya di MG COOP Mart serta Penama yang dijual dengan harga bermula RM1 hingga RM3.50.

"Produk saya dikenali melalui mulut ke mulut, dan salah satu cara nak aiskrim ini lebih dikenali saya letak di pasar raya berkenaan selain membuka reruai pada hari sukan sekolah kerana sasarannya ialah kanak-kanak yang tertarik dengan warna dan perisa," katanya.

Namun beliau berkata pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) akibat pandemik COVID-19 turut menjejaskan penjualan aiskrim menyebabkan fokus beliau kini adalah untuk kembali merancakkan perniagaan selepas pelbagai sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).  

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan