BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
AM

MOSTI gesa syarikat pesaing saling bekerjasama dalam inisiatif HTLT

17/11/2021 11:21 AM

KUALA LUMPUR, 16 Nov  -- Syarikat-syarikat yang menyertai inisiatif Teknologi Tinggi, Sentuhan Rendah (HTLT) kerajaan, digalakkan untuk mengamalkan pendekatan atau semangat ‘coopetition’ iaitu bekerjasama dengan pesaing berbanding sebaliknya bagi menawarkan penyelesaian yang lebih baik.

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata inisiatif itu turut menjadi tunjang dalam mempercepat syarikat-syarikat tempatan ke arah penerimagunaan Revolusi Perindustrian 4.0.

“Daripada sekadar mempelawa penyedia penyelesaian itu tampil dan mengemukakan hanya satu penyelesaian, kita menggalakkan mereka untuk membentuk kerjasama atau konsortium dengan penggiat lain. Kita menggalakkan kalangan pesaing ini untuk saling bekerjasama.

“Sebagai contoh, daripada hanya menawarkan alat pencerna anaerobik berteraskan sensor kepada pasaran ikan, syarikat-syarikat kini boleh bergabung tenaga menawarkan alat serupa yang dilengkapkan dengan kecerdasan buatan (AI) kepada pelanggan sama,” katanya dalam ucap tama di Persidangan Persatuan Taman Sains Asia (ASPA) 2021 hari ini.

HTLT adalah salah satu inisiatif utama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi atau MOSTI.

Adham Baba berkata, menerusi usaha kerjasama itu, pelanggan terbabit akan mendapat lebih banyak nilai bagi pelaburan mereka dan meraih manfaat lebih besar menerusi peningkatan kecekapan dalam lebih daripada satu bidang.

“Syarikat-syarikat tersebut akan menjana lebih banyak data yang membolehkan sistem masing-masing meningkatkan pembelajaran dengan tarikan lebih baik di pasaran. Ringkasnya, semua pihak akan menang,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Pengerusi MTDC Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata persidangan tahunan ASPA yang menghimpunkan semua penggiat teknologi di serata Asia bagi mengemukakan paradigma baharu industri Asia.

Pada masa sama, ia turut membangunkan konsensus ekonomi di rantau itu dengan menghimpunkan organisasi, syarikat dan individu yang menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi di peringkat masyarakat masing-masing.

Menurutnya, persidangan-persidangan sebelum ini terbukti berjaya membantu taman-taman sains di sekitar rantau ini untuk menjadi lebih cekap dari segi memberi nilai kepada penyewa ketika peserta saling bertukar-tukar maklumat mengenai amalan mereka selain memanfaatkan kekuatan masing-masing.

“Persidangan ASPA 2021 MTDC di sini berhasrat melonjakkan agenda taman-taman sains sebagai lokasi penghasilan pembangunan bidang inovasi, penggunaan teknologi, penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan reka cipta dan pengewangan harta intelek, terutama di rantau Asia,” katanya.

Acara Persidangan ASPA ke-24 bertemakan ‘Advancing Technological Revolution Through Coopetition,’ (Memajukan Revolusi Teknologi Menerusi Kerjasaman Persaingan) turut menyaksikan kehadiran peserta dari 47 negara termasuk Korea Selatan, India, Indonesia, Rusia, Singapura, Thailand, Turki, Vietnam, Jepun, Iran, China selain Malaysia selaku negara tuan rumah.

Kalangan pengunjung juga berpeluang meninjau 60 gerai pameran secara maya yang mewakili 10 negara dan jaringan rangkaian bersama peserta.

MTDC telah diberi tanggung jawab menjadi tuan rumah Persidangan ASPA 2021 yang diadakan secara maya buat julung kalinya di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan