BERITA COVID–19   Inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia kurangkan beban hal sewaan | COVID: Tiga kluster baharu diisytihar di Sarawak - JPBN | Hanya 0.7 peratus guru di Selangor belum terima vaksin | COVID: Kes sembuh melebihi kes baharu lapan hari berturut-turut | Vaksin remaja: Ikut arahan, SOP yang ditetapkan - Khairy | 
AM

Jangan bawa kayu penyendal bawah lori kata JPJ P.Pinang

15/09/2021 11:48 AM

BUKIT MERTAJAM, 15 Sept  -- Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memberikan amaran kepada pemandu lori agar tidak membawa kayu penyendal yang diletakkan di bahagian bawah kenderaan mereka.

Pengarahnya Adenan Md. Isa berkata melalui operasi khas bersepadu ‘OBSTACLE’ yang dijalankan di Plaza Tol Juru semalam, pihaknya mengesan sebanyak 15 lori yang meletakkan kayu penyendal di bahagian casis yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

“Kemalangan yang disebabkan oleh kayu penyendal di atas jalan raya semakin meningkat. Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes seperti ini memang jarang berlaku namun kini ia semakin menjadi-jadi.

Kayu penyendal itu boleh jatuh ketika pemandu membelokkan kenderaan, permukaan jalan raya yang tidak rata atau ketika lori dipandu dengan laju,” katanya kepada pemberita ketika mengikuti operasi tersebut yang bermula jam lima petang sehingga 11 malam semalam.

Tambahnya, sebanyak 270 notis saman telah dikeluarkan semalam kepada pemandu yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Antara kesalahan lain termasuk penggunaan telefon bimbit semasa memandu, tiada lesen memandu, penggunaan lampu ‘strobe’, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cermin gelap, turut dikesan dalam operasi selama enam jam tersebut.

Dalam masa yang sama, Adenan telah menghadiahkan sebuah topi keledar kepada seorang kanak-kanak setelah didapati dibawa menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar.

Daripada 800 kenderaan yang telah diperiksa semalam, sebanyak 128 daripadanya telah diambil tindakan.

Operasi terbabit disertai 60 pegawai penguatkuasa termasuk daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan PLUS Malaysia Berhad selain JPJ.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan