BERITA COVID–19   Thailand rancang kurangkan tempoh kuarantin | Pemain utama sektor pelancongan di P. Pinang sudah bersiap sedia | Satu lokaliti di Sabah, dua di Pahang dikenakan PKPD mulai Sabtu - MKN | Pahang benar jemaah belum terima vaksin solat di masjid, surau | Program PICK berjaya turunkan kes baharu COVID di Malaysia - Pengarah NIH | 
AM

GSC, TGV tetap tarikh buka semula pawagam

14/09/2021 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept  -- Dua operator pawagam terbesar di Malaysia iaitu Golden Screen Cinemas (GSC) dan  TGV, akhirnya mengumumkan tarikh pembukaan semula premis hiburan itu kepada individu yang lengkap divaksin. 

GSC menerusi hantaran di laman Instagram hari ini mengumumkan bahawa 17 cawangannya serta Aurum Cinemas di Lembah Klang, wilayah Utara dan Selatan akan dibuka pada Khamis ini sempena sambutan Hari Malaysia. 

Menurut hantaran itu, lebih banyak pawagam di lokasi lain akan dibuka semula pada minggu berikutnya iaitu 23 Sept. 

Pengurus Besar Bahagian Jualan dan Pemasaran TGV Cinema Mohit Bhargava dalam kenyataan hari ini mengesahkan pembukaan semula pawagam milik syarikat itu dan mengalu-alukan kedatangan penonton yang telah lengkap divaksin ke premis hiburan tersebut mulai 23 Sept. 

Kenyataan itu menyebut keputusan dibuat selepas berunding dengan studio untuk mendapatkan kelulusan badan penapis tempatan bagi filem mereka. 

"Selain itu, fokus utama kami ialah keselamatan dan sekuriti semua kakitangan serta pelanggan dan bagi memastikan pembukaan semula pawagam kami mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP), TGV kini mengambil setiap langkah pencegahan yang perlu dan tidak akan tergesa-gesa membuka semula premis hiburan tersebut,” kata Mohit.

Penonton pasti boleh menjangkakan barisan filem menarik yang bakal ditayang sempena pembukaan semula pawagam itu termasuk Black Widow yang dibintangi Scarlett Johansson, Jungle Cruise (Dwayne Johnson) dan No Time To Die (Daniel Craig) pada September ini. 

Pawagam di negeri di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara telah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus bermula 9 Sept lepas dan hanya individu yang melengkapkan vaksinasi COVID-19 dibenar memasuki premis hiburan itu.

-- BERNAMA 


 
 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan