BERITA COVID–19   Lebih 1.7 juta warga emas terima suntikan vaksin COVID-19 | 'Hadiah' terakhir buat Jenazah COVID-19 daripada penggali kubur | COVID: Sabah rekod dua kluster tempat kerja hari Ini | PKPD di tujuh lokaliti termasuk lima di Sabah mulai Sabtu ini - Ismail Sabri | Hospital Shah Alam berstatus hospital rawatan bukan pesakit COVID-19 sepenuhnya | 
AM

Kelesuan, sukar tidur antara lima sindrom pasca COVID dialami bekas pesakit - KP Kesihatan

11/06/2021 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun -- Kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk  dan kegelisahan adalah lima simptom yang kerap dialami bekas pesakit COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata simptom itu dikenali sebagai Sindrom Pasca Covidseperti yang dinyatakan dalam garis panduan mengenai “Long COVID” oleh The National Institute for Health and Care Excellence (NICE), United Kingdom pada 18 Dis lepas.

Katanya, sindrom itu merupakan keadaan bekas pesakit COVID-19 yang masih menunjukkan gejala-gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih, dan gejala berkenaan tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.

“Keadaan ini berpunca daripada komplikasi jangkitan COVID-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang individu.

Secara amnya, data klinikal menunjukkan majoriti pesakit COVID-19 di Malaysia mampu sembuh sepenuhnya, bagaimanapun terdapat segelintir yang terkesan dengan Sindrom Pasca Covid,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata menurut kajian klinikal yang dijalankan oleh KKM melibatkan 1,004 pesakit daripada kategori 4 dan 5 yang menerima rawatan susulan, didapati 66 peratus daripada pesakit itu mengalami sindrom berkenaan.

Sehingga kini, rawatan yang ditawarkan adalah berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terlibat.

Dr Noor Hisham berkata rujukan kepada bidang kepakaran yang berkaitan akan dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum, selain kajian klinikal terus dijalankan untuk memahami dan mengenal pasti kesan sindrom itu.

“Oleh itu, pesakit-pesakit COVID-19 yang didiscaj dari hospital akan diberikan temu janji rawatan susulan dan mereka diingatkan untuk hadir mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Bagi bekas pesakit COVID-19 yang masih mempunyai gejala, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran”, katanya.

Tegas Ketua Pengarah Kesihatan itu, ianya penting bagi mengekalkan tahap kesihatan bekas pesakit COVID-19 pada tahap terbaik dan mengurangkan sebarang komplikasi jangka panjang yang boleh mengurangkan kualiti hidup serta produktiviti seseorang.

Justeru itu katanya, adalah amat penting untuk setiap inidividu terlindung daripada bahaya COVID-19 dan mendaftar untuk mendapatkan vaksin agar dapat mengurangkan risiko dijangkiti yang serius.

-- BERNAMA 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan