BERITA COVID–19   PKP 3.0: Tukang gunting rambut di Pulau Pinang mohon dibenar beroperasi | Semangat perpaduan perangi COVID-19 masih kurang - KP Kesihatan | COVID: Semua pihak perlu berusaha patuhi SOP - Pengarah Kesihatan N. Sembilan | Jumlah terkini kes COVID-19 di Malaysia dan beberapa negara dunia | COVID: Negara ke fasa kedua jika purata kes bawah 4,000 tujuh hari berturut-turut | 
AM

Alam sekitar: Masyarakat juga berperanan pulihkan ekosistem - Pensyarah, NGO

05/06/2021 10:19 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun -- Masyarakat perlu menyumbang dan tidak alpa dalam usaha memulihkan ekosistem di negara ini bagi memastikan ia sentiasa stabil dan kondusif untuk kehidupan manusia, kata pensyarah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia Dr Mohd Yusoff Ishak berkata situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara, malah seluruh dunia ketika ini meletakkan isu kesihatan sebagai keutamaan kerajaan, tetapi masalah ekosistem juga memerlukan penyelesaian.

Menurutnya beberapa langkah boleh diambil oleh masyarakat bagi membantu memulihkan ekosistem antaranya mengurangkan penggunaan bahan plastik, berubah kepada penggunaan peralatan elektrik cekap  tenaga dan menanam pokok di kawasan rumah.

"Kita (masyarakat) perlu mengambil cakna dengan kempen yang diuar-uarkan kerajaan. Kita perlu menyumbang kerana kerajaan ketika ini tertekan dengan pelbagai isu, jadi (fokus kepada) alam sekitar mungkin di tahap kedua berbanding kesihatan, maka kita perlu bertindak," katanya kepada Bernama.

Itu adalah antara ulasan beliau dalam satu webinar bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia 2021 bertemakan  “Pemulihan Ekosistem” hari ini. Hari Alam Sekitar Sedunia disambut di peringkat global pada 5 Jun setiap tahun sejak 1974.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail yang senada dengan Mohd Yusoff berkata tema Pemulihan Ekosistem menjadi fokus kerana dunia menghadapi masalah ekosistem yang kian merosot dan tidak mampu memberikan perkhidmatan kepada manusia serta alam sekitar.

Beliau berkata misalnya hutan yang ditebang untuk kawasan pertanian dan pembangunan telah menyebabkan keadaan ekosistem hutan yang tidak stabil, begitu juga ekosistem sungai atau tasik yang tercemar akibat pembangunan tidak lestari.

"Justeru isu habitat yang semakin merosot adalah masalah dunia yang memberi kesan kepada perubahan iklim, kepupusan biodiversiti serta pemanasan global yang akhirnya akan memberikan kesan kepada kesihatan dan ekonomi manusia.

Maka tema Pemulihan Ekosistem sesuai sebagai pilihan kepada Hari Alam Sekitar Sedunia. Pemulihan ekosistem melibatkan darat, pantai dan lautan meliputi batu karang dan rumpai laut," katanya.

Ahmad berkata masyarakat harus berfikir secara saintifik berhubung pemulihan ekosistem dengan mengurangkan pencemaran alam sekitar dan menyediakan kawasan legar yang cukup untuk hidupan liar.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri  Dr Zaini Ujang pada sesi webinar hari ini berkata dalam konteks pemulihan ekosistem, perkara paling penting adalah sesuatu tindakan yang diambil itu tidak melebihi ambang keseimbangan atau kestabilan.

Menurutnya apabila sesuatu tindakan melebihi ambang berkenaan, langkah yang perlu diambil adalah memulihkan kembali ekosistem yang tercemar atau pembangunan yang menyebabkan banyak berlakunya pencemaran.

"Kalaulah kita dah tersilap, tercemar alam sekitar, dan biasanya macam itu, contohnya buat pembangunan terpaksa merentasi Banjaran Titiwangsa, kalau tidak tiadalah jalan nak pergi ke Temerloh, Pahang atau Kelantan melalui jalan raya, kita terpaksa cut across (merentas untuk membangun kawasan itu).

"Apa yang kita buat kita meminimumkan (masalah) dan apabila telah berlaku pembangunan tersebut cepat-cepat kita pulihkan," kata Zaini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar berkata untuk PKP 3.0 ataupun sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun, jabatan itu sentiasa menjalankan pemantauan untuk memastikan alam sekitar terus terpelihara bagi mencegah pencemaran daripada memberi risiko kepada sumber bekalan air dan kesihatan rakyat.

Kata dalam konteks berkenaan, JAS memantau secara terperinci pengawasan stesen automatik kualiti udara dengan segala maklumat berkenaan boleh diakses orang awam, selain 30 stesen automatik kualiti air sungai dan 10 stesen automatik kualiti air marin.

"Kita juga memantau penjanaan sisa klinikal dan dan didapati ada peningkatan (baru-baru ini), dan ini perlu diuruskan dengan sempurna dan sistematik. Rakyat boleh beri maklumat yang tepat dan berkualiti supaya kita boleh jejaki mereka yang melakukan pencemaran," katanya.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan