BERITA COVID–19   PKP: Sembilan sekatan jalan bermula hari ini | PKP: Sembilan sekatan jalan bermula hari ini | COVID: 666,495 individu terima dua dos vaksin setakat semalam - Dr Adham | KDN arah operasi pemantauan SOP dipertingkatkan  | KDN arah operasi pemantauan SOP dipertingkatkan  | 
AM

Pendekatan PKP Bersasar sesuai untuk Kuala Lumpur

04/05/2021 08:52 AM

PUTRAJAYA, 3 Mei -- Pendekatan yang sesuai untuk Kuala Lumpur ketika ini bagi mendepani pandemik COVID-19 ialah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar di beberapa lokaliti, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, beberapa kerajaan negeri telah memohon kepada agensi itu supaya PKP dilaksanakan semula di negeri terbabit susulan peningkatan kes yang tinggi dan kebarangkalian bahawa ia akan terus meningkat.

"Bagi pihak Jawatankuasa Keselamatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kita merasakan perlu lebih berhati-hati, ada beberapa lokaliti tapi kita harap kita juga diletak nanti dalam PKP bersasar.

"Ini bermakna kita akan tengok di mana kawasan dan tempat yang perlu diperketat PKP, kita akan perketatkan," katanya kepada media selepas Program Prihatin Rakyat Ramadan Putrajaya hari ini.

Annuar berkata pihak MKN mengambil langkah untuk meneliti secara mendalam permohonan negeri terbabit dengan mengambil kira kepentingan menyeimbangkan antara kehidupan dan nyawa rakyat.

"Ia satu situasi yang cukup sukar. Saya sebagai ahli MKN Khas COVID-19 hampir setiap hari bermesyuarat dan mendengar nasihat pakar daripada agensi-agensi yang terlibat secara langsung atau kelompok profesional yang mengurus kesihatan sampailah kepada agamawan yang memberi nasihat dari pelbagai sudut bagaimana harus kita tangani COVID-19.

"Jelas tidak ada formula tetap atau cara terbaik yang tertentu untuk mengurus COVID-19 kerana ia sangat unik. Setiap gelombang, setiap fasa kita terpaksa menggunakan kaedah yang berbeza," katanya.

Pada majlis itu, seramai 400 golongan asnaf di Putrajaya menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan menerusi Program Prihatin Ramadan, yang antara lain, bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan untuk turut merasai kemeriahan melakukan persiapan menyambut Aidilfitri.

Program itu adalah kerjasama strategik antara Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Perbadanan Putrajaya (PPj), Kumpulan Media Prima dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

KWP, PPj dengan kerjasama Yayasan Restu dan Nasyrul Quran turut menginfakkan sebanyak 4,000 naskhah al-Quran al-Karim Mushaf Putrajaya.

-- BERNAMA



 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan