BERITA COVID–19   KDN arah operasi pemantauan SOP dipertingkatkan  | KDN arah operasi pemantauan SOP dipertingkatkan  | PKP: 70,000 pelajar IPT pulang ke kampung secara berperingkat mulai hari ini - Noraini | COVID: PKPD di dua lokaliti di Julau, Sarawak | PKP: Joging, berbasikal, senaman kini dibenarkan mulai 8 Mei | 
AM

Program Prihatin Gerak Rezeki bantu golongan B40 yang terjejas

22/04/2021 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 22 April -- Kira-kira 3,500 penduduk di beberapa kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang, bakal menerima sumbangan pek makanan melalui Program Prihatin Gerak Rezeki.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim's Dewina Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, program itu yang merupakan sebahagian daripada  tanggungjawab sosial korporat Brahim's Dewina dan Yayasan Baitul Hayati dengan kerjasama Yayasan Food Aid, bertujuan membantu meringankan kos sara hidup golongan B40 terutama dari segi menyediakan makanan untuk keluarga.

“Tujuannya adalah untuk membantu golongan ini yang mungkin terkesan dengan keadaan ekonomi semasa. Ia adalah tanggungjawab kita bersama untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu, di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, program tersebut tidak hanya berlangsung pada Ramadan, sebaliknya akan berterusan sehingga akhir tahun ini.

“Untuk fasa pertama, kita telah mengenal pasti empat kawasan PPR iaitu Apartment Putra Ria, Bangsar; PPR Jelatek, PPR Desa Tun Razak dan Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, yang berlangsung selama 15 hari bermula hari ini hingga 12 Mei,” katanya dan turut  turut menyeru dan mengalu-alukan mana-mana syarikat atau orang perseorangan, untuk menghulurkan bantuan bagi membantu golongan kurang berkemampuan itu.

Sementara itu pengerusi Penduduk Apartment Putra Ria Hussin Ahmad, melahirkan rasa syukur  atas sumbangan itu kerana ramai keluarga melalui keadaan yang sukar, terutama semasa pandemik COVID-19.

Seorang penduduk di  apartment itu Abdul Haniff Sulaiman, 49, pula berkata program tersebut benar-benar membantu meringankan beban mereka, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan asnaf.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan