BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
AM

Quraany sediakan platform wakaf al-Quran lebih telus

21/04/2021 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 21 April -- Quraany, sebuah perusahaan sosial menyediakan platform pendanaan ramai wakaf al-Quran yang lebih telus menggunakan teknologi inovasi iaitu teknologi mengganggu (disruptive) atau teknologi ‘disruptive’.

Pengerusi Quraany Dr Mazlan Ahmad berkata melalui teknologi ini, orang ramai bukan sahaja dapat menyalurkan sumbangan, malah mereka juga boleh memantau setiap sumbangan sekali gus mengelak daripada berlakunya salah guna dana.

“Penggunaan teknologi ini dalam bentuk blok rantai yang mana tidak akan ada mana-mana orang dapat mengubah data yang ada di dalamnya, ia akan kekal bagi membolehkan orang ramai melihat ke mana sumbangan mereka pergi kerana mereka boleh jejak dan kesan... ini adalah inisiatif bagi memastikan pengurusan dana orang ramai lebih telus. 

“Sebagai contoh, daripada dana sumbangan orang ramai ini, kita buat rumah al-Quran di Afrika Selatan, kita adakan pengajian khusus Muqaddam di China dan sebagainya. Mereka (orang ramai) boleh tahu melalui kesan laporan yang dihasilkan dari teknologi ini... jadi dengan hanya imbas kod QR mereka akan dibawa ke laman web Quraany www.quraany.net,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Quraany dan Attin Press Sdn Bhd di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Quraany Ahmad Hallalo dan Pengarah Urusan Attin Press Sulaiman Ali pada majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. 

Menurut Mazlan, pendanaan ramai juga bagi memastikan sebanyak satu juta naskhah al-Quran dapat diedarkan ke seluruh dunia menjelang hujung tahun ini khususnya ke Afrika Selatan yang ketika ini masih ada umat Islamnya menggunakan papan untuk menyalin dan membaca al-Quran. 

Dalam pada itu, Mazlan berkata menerusi MoU ini juga, satu inisiatif mengitar semula al-Quran lama yang telah rosak menggunakan teknologi patuh syariah seterusnya mencetak al-Quran baharu menggunakan kertas kitar semula itu. 

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berharap agar lebih ramai pihak dapat melakukan inisiatif sama dalam usaha memastikan masyarakat yang kurang berkemampuan dapat memiliki al-Quran peribadi.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan