BERITA COVID–19   PKPD Bunut Susu: Ujian saringan pertama selesai, 235 individu positif | P. Pinang mohon kerajaan persekutuan segera lulus ujian RT-PCR pekerja kilang | Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | 
AM

30 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Batu Sapi pagi tadi

21/04/2021 12:19 PM

SANDAKAN, 21 April -- Kira-kira 30 rumah setinggan atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi dekat sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan Martin Thomas berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 7.55 pagi dan sepasukan bomba dengan empat jentera tiba di tempat kejadian 17 minit kemudian.

"Anggaran keluasan kebakaran adalah 100 x 200 meter dengan anggaran rumah terbakar sebanyak 30 buah jenis tidak kekal.

"Kami telah mengambil sumber air daripada tangki air sejauh 1,300 kaki (396.24 meter) daripada lokasi kebakaran kerana pada ketika kejadian air laut telah surut," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada 9.17 pagi dan tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca kebakaran dalam siasatan.

Martin berkata pihaknya dengan bantuan penduduk kampung turut melaksanakan "firebreak" iaitu kaedah memutuskan kemerebakan api dengan merobohkan rumah dan jambatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong Alias Sani berkata kebanyakan mangsa akan ditempatkan di dewan serbaguna Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, manakala sebahagian kecil ditempatkan di balai raya kampung terjejas dan rumah saudara mara.

Seorang penduduk Mohd Zam Abdul, 60, yang tinggal di kampung itu sejak lebih 20 tahun, berkata kejadian kebakaran itu merupakan yang kedua berlaku selepas 2018.

Beliau yang tinggal bersama isteri dan enam anaknya berjaya menyelamatkan diri bersama enam ekor kucing peliharaan mereka.

Beliau turut membantu penduduk kampung lain untuk merobohkan rumah atas air terlibat bagi mengelak kebakaran merebak ke rumah lain di kampung itu.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan