BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
AM

Ambil berat soal perpaduan kaum dalam kalangan pelajar - Halimah

18/04/2021 07:59 PM

KOTA TINGGI, 18 April -- Pihak pengurusan sekolah termasuk pengetua dan guru besar perlu mengambil berat soal perpaduan kaum dan diharap agar tidak memulakan dan menanam bibit-bibit perpecahan dalam kalangan pelajar.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata hal ini kerana perpaduan itu perlu disemai bermula dari pendidikan awal kanak-kanak dan peringkat sekolah lagi.

“Perpaduan ini kita perlu semai dalam masyarakat bermula dari awal. Ini adalah asas pembentukan sikap untuk kita menerapkan rasa hormat menghormati dan penerimaan antara kaum yang mana ia satu bentuk yang sangat mudah untuk jadi acuan perpaduan.

Saya harap selepas ini pengurusan di peringkat sekolah, pengetua dan guru besar tolong ambil berat perkara (perpaduan) ini, jangan kita mulakan bibit-bibit perpecahan yang kita tanamkan di kalangan pelajar sekolah bermula dari awal,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Program Ihya Ramadan Parlimen Kota Tinggi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebuah sekolah menengah di negeri ini yang baru-baru ini tular di media sosial selepas surat berkaitan kokurikulum yang dikeluarkan pengurusan sekolah berkenaan ada meletakkan syarat kaum untuk pendaftaran kokurikulum sukannya.

Halimah, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata beliau mengambil maklum berhubung isu berkenaan yang mana ia turut mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, kita harap perkara seperti ini bukan sahaja tidak berlaku dalam sukan sahaja...tetapi juga perkara lain termasuk persatuan, pertubuhan dan sebagainya. Jadi, saya harap ia tidak lagi berlaku dalam masa akan datang,” katanya.

Halimah dalam masa sama menjelaskan, menerusi Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini juga, kesemua kementerian diletakkan di bawah peranan dan tanggungjawab dalam usaha untuk mempromosikan perpaduan menerusi apa jua bidang di bawah kementerian masing-masing. 

Semalam, Radzi menerusi catatan di laman Facebook rasminya berkata, beliau terkejut dengan tindakan sekolah berkenaan  yang mengeluarkan panduan pemilihan aktiviti sukan murid mengikut kaum.

Katanya, sehubungan itu, tindakan segera dan sewajarnya akan diambil Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam masa sama, Reezal Merican turut menyelar tindakan sekolah berkenaan.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan