BERITA COVID–19   PKPD Bunut Susu: Ujian saringan pertama selesai, 235 individu positif | P. Pinang mohon kerajaan persekutuan segera lulus ujian RT-PCR pekerja kilang | Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | 
AM

'Kafe Kindness Kitchen' tawar makanan percuma untuk golongan tidak mampu

17/04/2021 12:21 PM

ALOR SETAR, 17 April -- Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kindness Malaysia mengambil inisiatif mewujudkan 'Kafe Kindness Kitchen' untuk golongan tidak berkemampuan menikmati hidangan makanan secara percuma di kafe.

Pengerusinya, Mohd Azrul Mohd Razak berkata golongan asnaf seperti fakir dan miskin selain gelandangan, anak yatim serta orang kurang upaya (OKU) boleh mengunjungi kafe itu di Jalan Sultanah di sini yang buat permulaan beroperasi setiap Sabtu sahaja.

"Kafe beroperasi dari pukul 7 hingga 9 malam dalam bulan Ramadan ini manakala pada hari biasa ia akan beroperasi dari pukul 8 hingga 11 malam. Sepanjang Ramadan ini, kita sasarkan lebih 300 asnaf akan mendapat manfaat daripada projek ini," katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Azrul berkata kafe yang dilancarkan pada Selasa lepas itu terhasil selepas soal selidik dijalankan terhadap golongan asnaf yang kebanyakan mereka tidak pernah atau jarang dapat makan di luar kerana kos tinggi terutamanya yang mempunyai ahli keluarga ramai.

"Mereka boleh datang makan di kafe ini dan tiada sebarang bayaran dikenakan. Seramai 25 sukarelawan akan bertugas secara giliran termasuk memasak makanan seperti masakan panas, masakan barat, kuih-muih dan minuman,” katanya.

Beliau berkata pihaknya memperuntukkan kira-kira RM300 untuk setiap kali tajaan berbuka puasa kepada 25 hingga 30 asnaf dalam satu masa.

Katanya, proses untuk menyiapkan kafe itu termasuk pengubahsuaian yang mengambil masa hampir tiga bulan yang dimulakan pada Januari lepas dan menelan belanja keseluruhan berjumlah RM3,000.

Mohd Azrul berkata pihaknya merancang untuk membuka kafe berkenaan enam hari seminggu namun ketika ini tidak dapat dilaksanakan berikutan kekurangan sukarelawan untuk bertugas.

Sehubungan itu, sekiranya ada individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan Kindness Malaysia (Kedah), mereka boleh menghubungi talian 016-7074798 manakala sesiapa yang ingin menaja juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan ini boleh berbuat demikian di akaun Maybank 5520-9523-6240 (Kindness Malaysia).

 -- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan