BERITA COVID–19   Kes COVID-19, India catat rekod baharu dunia | COVID: Peniaga kecil di Sarawak digesa beralih kepada digital | Langkah lebih drastik di Sibu jika kes COVID kekal tinggi | Cuti raya 152 anggota bomba Labuan dibekukan | SOP ketat bendung penularan COVID-19 di penjara | 
AM

Helang pemangsa gah merentas Selat Melaka

09/04/2021 05:53 PM

ALOR GAJAH, 9 April – “Yang mana hebat tu, dia naik tinggi dan dia boleh meluncur jauh,” kata Presiden Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail ketika menceritakan fenomena penghijrahan burung pemangsa atau Raptor yang merentasi Selat Melaka dekat Tanjong Tuan di sini, menuju ke Hemisfera Utara.    

Penghijrahan burung pemangsa dari Selatan ke Hemisfera Utara yang berlangsung sejak awal Mac hingga pertengahan April tahun ini melibatkan lebih 20,000 ekor burung daripada empat spesies utama helang.

Antara burung pemangsa yang sering singgah di Selat Melaka, termasuklah Helang Lebah atau nama saintifiknya Oriental Honey Buzzard, Helang Baza Berjambul (Black Baza), Helang Sewah (Japanese Sparowhawk), Alap-Alap Cina (Chinese Goshawk) dan Helang Merah (Brahminy Kite).

Pada musim sejuk di Hemisfera Utara, ketika sumber makanan dalam kawasan pembiakan menurun, burung pemangsa berkenaan akan berhijrah ke kawasan yang lebih panas di sebelah selatan hemisfera kerana makanan lebih mudah didapati.
Menurut Ahmad, penghijrahan burung pemangsa memberi petunjuk kepada manusia betapa pentingnya kesihatan ekosistem dan alam sekitar.

“Hutan simpan ini penting kerana penghijrahan burung pemangsa memerlukan tenaga, haba, di mana burung akan naik ke atas, terbang 'in circles' berpusing-pusing dan selepas itu ia akan meluncur mencari satu terma baharu untuk ia naik lagi dan (keadaan berkenaan akan) berterusan,” katanya.

Ahmad berkata teknologi terkini seperti teleskop, satelit dan sistem pengecaman, perlu diperkenalkan untuk mengesan dan mencatat jumlah serta jenis burung yang merentasi laluan tersebut.
    
“Marilah bersama-sama MNS, cuba kita bina satu semangat baharu cintakan alam sekitar, melindunginya, memuliharanya dan menguruskan habitat mereka,” katanya.    

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan