BERITA COVID–19   SIC diarah tangguh semua kejohanan drag | Kluster Jalan Canning Estate: Bazar Ramadan Stadium Perak dikawal ketat | COVID: 607 kes positif baharu, angka tertinggi direkod di Sarawak | Empat lokaliti di tiga daerah di Sabah, empat kampung di Pahang dikenakan PKPD esok | WHO terbit garis panduan sempena perayaan keagamaan | 
AM

Kedutaan Arab Saudi agih kurma kepada NGO Islam, pengamal media

08/04/2021 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 8 April -- Kedutaan Arab Saudi di Malaysia melalui Pejabat Atase Agamanya, mengagihkan kira-kira 570 kotak kurma kepada pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO Islam) dan pengamal media negara ini.

Pengagihan sumbangan itu merupakan program Hadiah Kurma Penjaga Dua Masjid Suci, yang diagihkan setiap tahun kepada umat Islam bersempena bulan Ramadan.

Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan berkata, dalam situasi pandemik COVID-19, pihaknya berjaya melaksanakan program tahunan itu yang akan memanfaatkan kira-kira 24 negara Islam termasuk Malaysia.

Qattan berkata, sumbangan itu merupakan simbol komunikasi berterusan antara kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam, bagi membantu saudara se-Islam di seluruh dunia.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya di program Hadiah Kurma Penjaga Dua Masjid Suci kepada NGO Islam dan pengamal media di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Ahmad yang mewakili agensi berkenaan menerima sumbangan itu dan menzahirkan rasa syukur kepada Kedutaan Arab Saudi atas sumbangan kepada petugas-petugas di Bernama.

“Insya-Allah, sumbangan ini memadai dan kami mendoakan agar Allah SWT merahmati pemimpin Arab Saudi, agar dapat terus menyumbang kepada umat Islam,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan