BERITA COVID–19   Rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan dibenar Isnin hingga Khamis | Dakwaan KKM manipulasi jumlah kes positif COVID-19 adalah tidak berasas -- Ismail Sabri | Thailand rancang tambah 10 juta lagi dos vaksin COVID-19 | COVID: Empat lagi kluster baharu diisytihar di Sarawak | PKP di Mukim Endau, Mukim Triang di Mersing, Johor mulai esok hingga 3 Mei | 
AM

Jabatan Penerangan jadi pemudah cara bantu rakyat daftar vaksin COVID - Saifuddin

08/04/2021 04:50 PM

ARAU, 8 April -- Jabatan Penerangan kini berperanan sebagai pemudah cara untuk membantu rakyat khususnya golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) mendaftar bagi menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pegawai jabatan itu yang berada di setiap daerah akan mendekati golongan tersebut di kawasan masing-masing selain menerusi program-program yang dianjurkan jabatan berkenaan.

“Kita sedang beri tumpuan untuk pendaftaran ini sebab masih ada misalnya warga emas (dan) OKU yang belum berdaftar… bantu untuk pendaftaran sama ada melalui (aplikasi) MySejahtera atau kita tolong daftarkan untuk mereka sebab mustahak untuk pastikan semua mendaftar dan mendapat vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum majlis menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan golongan antivaksin yang berterusan menyebarkan berita tidak benar mengenai keberkesanan vaksin itu menerusi laman sosial kerana vaksin tersebut  disahkan selamat secara saintifik.

“Kita jangan dengar khabar angin dan berita palsu yang mengatakan tidak selamat mengambil vaksin ataupun vaksin ada yang haram, sebab secara saintifik dah dibuktikan selamat (dan) fatwa telahpun dikeluarkan (yang) hukumnya harus.

“Sepatutnya kita kena galakkan orang mengambil vaksin, bila kita ambil vaksin, ia melindungi diri kita, kita membantu melindungi keluarga, jiran-jiran dan semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sentiasa memantau penyebaran berita palsu mengenai vaksin COVID-19 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang berkenaan termasuk golongan yang menyebarkan dakwaan kononnya terdapat kes kematian disebabkan pengambilan vaksin itu.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan