BERITA COVID–19   259 pelajar sekolah menengah di Kelantan positif COVID-19 dalam tempoh dua minggu | Varian baharu COVID-19, Pakistan larang kemasukan pelancong dari India | Varian baharu COVID-19, Pakistan larang kemasukan pelancong dari India | COVID-19: 19 sekolah diarahkan tutup di Selangor | Rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan dibenar Isnin hingga Khamis | 
AM

Saman terhadap individu cuba rentas negeri sambut Ramadan

05/04/2021 05:17 PM

MELAKA, 5 April  -- Tindakan saman akan dikenakan terhadap individu yang dikesan cuba merentas negeri untuk balik ke kampung bagi menyambut hari pertama Ramadan, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim.

Beliau berkata pemeriksaan ketat di semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri akan dipertingkatkan dan hanya mereka yang mempunyai dokumen kebenaran rentas negeri yang lengkap dan diluluskan dibenar meneruskan perjalanan.

“Saya percaya hujung minggu ini akan terdapat peningkatan pergerakan di jalan atau lebuh raya untuk pulang ke kampung bagi meraikan hari pertama Ramadan memandangkan tahun lepas mereka tidak dapat pulang kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sekiranya anggota atau pegawai polis mengesan individu cuba merentas negeri untuk balik ke kampung, tiada nasihat lagi...ambil tindakan terus,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Satu Taman Satu Polis Dan Fokus Polis Diraja Malaysia Kontinjen Melaka 2021 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata pertambahan jumlah SJR juga akan dilakukan bergantung kepada jumlah harian kes positif COVID-19 yang dilaporkan dan setakat ini sebanyak 30 hingga 35 SJR dilaksanakan di setiap pintu keluar dan masuk serta sempadan negeri di seluruh negara.

“Sekiranya jumlah kes positif COVID-19 meningkat, kita akan tambah SJR dalam usaha meminimumkan pergerakan individu atau kenderaan agar penularan COVID-19 dapat dikekang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Program Satu Taman Satu Polis akan diperluaskan di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar dalam usaha memberikan perkhidmatan berkualiti dan meningkatkan kelestarian tahap keselamatan di kawasan taman terlibat.

Program itu, katanya, dijangka dapat memberi impak positif dalam aspek keselamatan komuniti sekali gus menurunkan kadar jenayah di kawasan terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali  berkata Program Satu Taman Satu Polis bagi fasa pertama melibatkan tujuh taman iaitu tiga di daerah Melaka Tengah dan masing-masing dua taman di Alor Gajah dan Jasin.

Beliau berkata bagi daerah Melaka Tengah, taman terlibat ialah Taman Cempaka, Taman Merdeka Jaya dan Taman Bukit Katil Damai 2 manakala di daerah Alor Gajah pula ialah Taman Samarinda dan Taman Bandar Baru Masjid Tanah sementara di Jasin ialah Taman Asia Selatan Jasin serta Taman Seri Sempang Merlimau.

“Kajian impak program ini akan dilakukan dalam tempoh tiga bulan selepas ia dilaksanakan dan sekiranya ia dilihat memberi impak positif, fasa kedua akan dilaksanakan melibatkan 20 lagi taman perumahan di sekitar negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan