BERITA COVID–19   COVID-19 wujudkan globalisasi maya, ketengah pelbagai peluang baharu - Pakar | Komuniti perniagaan perlu guna pakai strategi berpusat syarikat | COVID-19: Singapura lepasi 60,000 kes | 231 sekolah rendah di Sarawak dibenar beroperasi secara bersemuka mulai Isnin | TV Pendidikan diteruskan, sasar pelajar tertentu - Radzi | 
AM

UNICEF, KPM bekerjasama lihat semula sistem pendidikan di Malaysia

23/02/2021 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb  -- Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melihat semula pendidikan khususnya untuk kanak-kanak paling terpinggir, di mana jua mereka berada.

Wakil UNICEF di Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Darussalam Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata pandemik COVID-19 telah menyebabkan kehidupan kanak-kanak terjejas, mengganggu tabiat kebiasaan dan memberi kesan kepada pendidikan dan kesihatan mental mereka.

“Kita perlu membangunkan dan mengukuhkan pembelajaran digital dan jarak jauh, sambungan Internet, data dan peranti mampu milik serta libat urus supaya kanak-kanak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk masa hadapan.

“Kami mengakui bahawa ini adalah keputusan yang sukar. UNICEF bersedia untuk terus menyokong kerajaan dengan nasihat teknikal dan penyelesaian yang dibuat bersama untuk melindungi masa hadapan setiap kanak-kanak di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ini juga adalah ruang untuk sistem pendidikan di Malaysia dibangunkan kembali dengan lebih baik.

Mengulas mengenai pembukaan semula sekolah pada 1 Mac, Rashed Mustafa berkata UNICEF mengalu-alukan dan menyokong penuh keputusan kerajaan itu kerana ia akan membolehkan pelajar mengakses segala kemudahan seperti sokongan psikososial dan nutrisi selain pendidikan mereka.

“Sekolah adalah ‘mikrokosmos’ masyarakat, ia ruang selamat untuk semua kanak-kanak. Pembukaan semula sekolah akan membolehkan pelajar mengakses kemudahan ini dan untuk belajar, berhubung dan bermain dengan rakan-rakan mereka semula.

“Semakin lama kanak-kanak ini tidak bersekolah, semakin besar mereka kehilangan pembelajaran dan keburukan kepada kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata sebagai keutamaan, guru-guru dan kakitangan sekolah perlu diberi vaksin COVID-19, sebaik sahaja petugas barisan hadapan kesihatan dan golongan berisiko tinggi divaksin, bagi melindungi mereka daripada virus itu, membolehkan mereka mengajar secara bersemuka dan memastikan sekolah terus dibuka.

Rashed Mustafa berkata UNICEF, bersama-sama agensi PBB yang lain telah mengeluarkan panduan pelbagai sektor untuk membuka semula sekolah dengan selamat dan rangka kerja untuk pembukaan semula sekolah boleh diakses menerusi https://www.unicef.org/sites/default/files/2020-06/Framework-for-reopening-schools-2020.pdf.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan