Selasa, 26 Januari 2021
AM
14/01/2021 05:49 PM

KUANTAN, 14 Jan  -- Badan korporat, sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) dari negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya zon merah tidak dibenarkan melakukan aktiviti pasca banjir di Pahang.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bagi mereka selain zon merah atau negeri dikenakan PKP, pihak terlibat perlu berdaftar di https://ebanjir.pahang.gov.my serta wajib mendapatkan kelulusan merentas negeri daripada polis. 

"Jika diluluskan, aktiviti yang dibenarkan hanya penghantaran barangan bantuan tanpa melibatkan aktiviti gotong-royong, ramah mesra dan interaksi serta tiada sebarang sentuhan fizikal dibenarkan dengan mangsa banjir terutamanya di pusat pemindahan sementara. 

"Surat kelulusan dan pas kenderaan perlu dipaparkan pada kenderaan yang digunakan. Konvoi akan dipantau polis sepanjang perjalanan dan jika berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP), tindakan kompaun akan dikenakan serta merta," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Wan Rosdy berkata sukarelawan dari Pahang juga perlu mendapatkan kelulusan bagi aktiviti pasca banjir dengan jumlah peserta dibenarkan bagi menyertai aktiviti gotong-royong bergantung kepada saiz ruang yang ingin dibersihkan dengan had maksimum 10 orang pada satu-satu masa.

Beliau turut memaklumkan sambutan perayaan Thaipusam pada 28 Jan ini dibatalkan selain semua majlis keramaian oleh jabatan kerajaan atau swasta serta majlis sosial seperti perkahwinan, doa selamat, aqiqah dan tahlil adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Penganjuran seminar, bengkel, latihan, kursus dan aktiviti berkitan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) juga tidak dibenarkan kecuali bagi latihan dalam perkhidmatan yang sedang berlangsung dalam kawasan institusi latihan yang wajib ditamatkan hujung bulan ini. 

"Aktiviti masjid dan surau dibenarkan dengan had kehadiran yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) manakala bagi rumah ibadat bukan Islam, had kehadiran ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau kerajaan negeri. 

"Majlis akad nikah juga dibenarkan dengan had kehadiran lapan orang di Pejabat Agama Islam Daerah manakala upacara perkahwinan bukan Islam juga dibenarkan dengan kehadiran maksimum lapan orang di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), rumah ibadat atau persatuan agama bukan Islam," katanya. 

Sepanjang PKPB di Pahang, Wan Rosdy berkata restoran, operasi kilang, trak makanan, pasar malam, pasar borong, pasar tani, dobi layan diri dan stesen minyak dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat ditetapkan, seperti had masa sehingga jam 12 tengah malam tertakluk kepada kelulusan lesen perniagaan. 

Bagaimanapun, waktu operasi stesen minyak di lebuh raya dibenarkan 24 jam. 

"Aktiviti jogging hanya dibenarkan di taman awam dan pantai tanpa kehadiran kanak-kanak di bawah usia 10 tahun serta tidak dibenarkan menggunakan alatan senaman manakala aktiviti berbasikal tidak dibenarkan melebihi 10 orang dalam satu kumpulan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan