Selasa, 26 Januari 2021
14/01/2021 04:13 PM

GEORGE TOWN, 14 Jan -- Kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan pakej kewangan RM20 juta untuk membantu mereka yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) musim kedua yang bermula semalam.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pakej kewangan itu bertujuan memberi kelegaan kepada kumpulan sasaran yang terjejas oleh pelaksanaan semula PKP.

"Semalam, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan pakej bantuan kewangan RM20 juta untuk menghadapi cabaran PKP, di samping bantuan RM151 juta tahun lalu kepada perniagaan, organisasi dan individu yang terkesan daripada wabak itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Chow berkata maklumat terperinci mengenai bantuan kewangan RM20 juta itu akan diumumkan kelak.

Beliau juga meminta masyarakat dan komuniti perniagaan untuk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan lekuk jangkitan kes COVID-19 di negeri itu dapat dilandaikan.

"Kita harus sedar, menurut statistik Jabatan Kesihatan Pulau Pinang hingga 13 Jan 2021, daripada 5,479 kes terkumpul, 3,246 kes (59 peratus) adalah melibatkan warga tempatan, sementara 2,233 kes (41 peratus) bukan warganegara," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin juga mencadangkan kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk memberikan lanjutan moratorium selama enam bulan bagi pembayaran balik Pinjaman Sifar Faedah Kesinambungan Perniagaan Pulau Pinang atau Skim Peka 2.0.

Yeoh berkata pemain industri pelancongan sangat terkesan oleh pelaksanaan PKP serta sekatan yang dikenakan untuk rakyat melakukan perjalanan rentas negeri.

"Dengan pelaksanaan semula PKP, saya mencadangkan agar pemohon Skim Peka 2.0 yang berjaya diberi pelanjutan enam bulan sebelum mereka memulakan pembayaran awal tahun ini.

“Dalam waktu yang sama, saya juga telah menulis surat kepada Persatuan Bank-Bank di Malaysia dan Menteri Kewangan untuk meminta mereka mempertimbangkan lanjutan moratorium bagi mereka yang terkesan oleh PKP ketika ini," katanya.

Skim Peka 2.0 yang ditawarkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, agensi pembangunan kerajaan negeri, kepada peserta industri pelancongan yang layak di negeri ini.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan