Sabtu, 16 Januari 2021
AM
09/01/2021 03:39 PM

BUKIT MERTAJAM, 9 Jan -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyiapkan dua lagi fasa terakhir Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) seperti dijanjikan sebelum ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata ia melibatkan fasa 2B dan fasa 2C yang pelaksanaannya penting untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air mentah serta proses pengisian semula empangan dengan pantas.

"Walaupun secara rasminya, Empangan Mengkuang telah diserahkan kepada kerajaan negeri namun terdapat dua lagi fasa perlu disiapkan selaras dengan inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Nasional yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Empangan Mengkuang merupakan empangan simpanan strategik kemarau yang lebih besar bagi menangani keperluan bekalan airnya yang semakin meningkat dalam abad ke-21 dan telah diserahkan kepada kami (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) namun kisah penuh MDEP masih belum tamat. Kami masih menunggu perlaksanaan Fasa 2B dan 2C dilakukan seperti yang dijanjikan sebelum ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Chow turut merasmikan pembukaan Empangan Mengkuang dan Majlis penyerahan Empangan Mengkuang oleh kerajaan Pulau Pinang kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Ir. Jaseni Maidinsa.

Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata projek pembesaran empangan berkenaan merangkumi empat fasa utama yang dibiayai geran Persekutuan bernilai RM1.2 bilion dengan fasa 1 dan 2A yang melibatkan pembesaran empangan dan menaik taraf Rumah Pam Mak Sulong serta kerja-kerja berkaitan yang telah siap.

Katanya mengikut jadual MDEP sepatutnya siap pada 2016 namun Empangan Mengkuang yang diperbesarkan diserahkan kepada kerajaan Pulau Pinang pada 26 Okt tahun lalu dan menjadikan ia sebagai empangan terbesar di Pulau Pinang dengan luas permukaan maksimum 3.4 kilometer (km) persegi berbanding sebelum ini hanya 1.74km persegi pada tahun 1985.

"Apa yang lebih penting, kapasiti efektif empangan telah meningkat sebanyak 293 peratus dari 22.0 bilion liter kepada 86.4 bilion liter air. Kami memerlukannya kerana boleh mengurangkan risiko kekurangan air ketika musim kemarau yang berpanjangan dan perubahan iklim yang tidak menentu," katanya. 

Sementara itu, Jaseni berkata fasa 2B ialah membabitkan pemasangan paip mentah berdiameter 1.6 meter(m) sepanjang 7 kilometer (km) dari rumah Stesen Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua yang saluran paip baharu itu meningkatkan kapasiti pengeluaran air mentah empangan daripada 300 juta liter sehari (JLH) kepada 600 JLH.

Katanya 2C pula merujuk kepada pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi iaitu pengoperasiannya akan membolehkan pengepaman tambahan 440 JLH air mentah ke empangan dari sumber air mentah kedua iaitu Sungai Muda.

"Sebenarnya Empangan Mengkuang yang diperbesarkan akan berfungsi sebagai simpanan strategik kemarau untuk Pulau Pinang pada musim kering dan ia merupakan komponen teras ‘Skim Simpanan Air Pam Mengkuang’ tidak seperti Empangan Air Itam dan Teluk Bahang yang menyimpan air dari kawasan tadahan berdekatan.

"Empangan Mengkuang menyimpan air mentah terutama yang dipam dari sungai pada musim hujan dan air mentah ini kemudiannya dapat dilepaskan dari empangan untuk digunakan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua pada musim kemarau," katanya.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan