Sabtu, 16 Januari 2021
AM
08/01/2021 05:02 PM

GEORGE TOWN, 8 Jan -- Kerajaan Pulau Pinang sedia mempertimbangkan untuk mengambil alih perkhidmatan feri ikonik di negeri itu sekiranya Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sedia memberikan feri itu kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada Rabu lepas telah membuat ketetapan sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak berminat untuk meneruskan perkhidmatan feri ikonik itu, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan pengambilalihan pemilikannya.

"Kerajaan Negeri amat memahami sentimen rakyat tempatan yang rata-rata tidak setuju dengan penamatan perkhidmatan feri ikonik itu, jadi dalam usaha memelihara kesinambungan perkhidmatan feri berkenaan, kami akan mempertimbangkan pengambilalihan.

"Memandangkan SPPP dan PPSB tidak mempunyai rancangan masa depan untuk mengekalkan feri-feri ikonik sebagai mod pengangkutan, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mencadangkan agar feri-feri ini diberikan sebagai ‘hadiah’ kepada rakyat dan negeri Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya beliau sendiri akan berhubung dengan SPPP selaku pihak berkuasa dalam perkara ini untuk membincangkan cadangan berkenaan.

Zairil berkata sejak 1 Jan lepas perkhidmatan bot laju penumpang antara Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dan Terminal Swettenham Pier Cruise, di sini telah bermula bagi menggantikan perkhidmatan feri ikonik yang sudah lama terkenal sebagai salah satu lambang simbolik negeri Pulau Pinang.

Katanya bot laju itu hanya untuk kegunaan penumpang sahaja, manakala penunggang motosikal masih lagi boleh menggunakan perkhidmatan sebuah feri ikonik yang dikekalkan buat sementara waktu sehingga ketibaan bot pengangkut kenderaan baharu yang dijangka sampai pada pertengahan tahun depan. 

"Dalam erti kata lain, perkhidmatan feri ikonik ini hanyalah sementara dan ‘menunggu masa’ sebelum digantikan dengan pengangkut kenderaan baharu," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menyatakan fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula 1 Jan, diikuti dua pengangkut kenderaan yang hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal) yang akan beroperasi mulai 2022. 

Pada 17 Dis lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan untuk pemodenan perkhidmatan feri itu yang akan disalurkan melalui dua pembayaran iaitu pada 2021 dan 2022.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan