Sabtu, 28 November 2020
AM
22/11/2020 06:13 PM

IPOH, 22 Nov -- Orang ramai khususnya pelajar yang terjejas akibat banjir kilat dan terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) disaran memanfaatkan sepenuhnya Pusat Internet Komuniti (PIK) yang diwujudkan di setiap daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed berkata PIK yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu beroperasi setiap hari kecuali cuti umum dari 10 pagi hingga 2 petang. 

"Bagaimanapun, jika terdapat pelajar yang perlu mengikuti kelas secara dalam talian selepas waktu operasi, mereka boleh berhubung dengan pengurus PIK itu untuk menggunakan kemudahan yang ada," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Khairul Shahril berkata demikian sebagai mengulas keluhan pelajar di beberapa PPS yang antara lain berdepan kesukaran untuk mendapatkan akses internet di pusat itu bagi mengikuti sesi pembelajaran dalam talian. 

Empat daerah di Perak dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang kerap kebelakangan ini iaitu Larut, Matang dan Selama; Kerian, Hilir Perak dan Kinta. 

Di daerah Kerian antara PIK yang boleh dikunjungi adalah di pekan Bagan Serai dan Batu 14 Teluk Medan, Bagan Serai. 

Selain itu, Khairul Shahril berkata pihaknya bersama MCMC dan syarikat telekomunikasi juga sedang mencari jalan terbaik bagi memastikan setiap PPS mempunyai akses internet yang memuaskan untuk kegunaan mangsa banjir. 

"Pihak MCMC sendiri telah meninjau beberapa PPS hari ini bagi tujuan itu. Apapun, kepada mereka yang memerlukan akses internet pilihan terbaik dan mudah adalah datang ke PIK kerana semuanya terletak di kawasan strategik serta selamat," katanya. 

-- BERNAMA 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan