Selasa, 01 Disember 2020
AM
20/11/2020 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov  -- Tender untuk kerja-kerja infrastruktur di 1,661 tapak melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM4.6 bilion di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) akan ditutup pada 31 Mac, 2021, memberi masa yang mencukupi kepada mana-mana pihak untuk mengambil bahagian.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata kriteria kelayakan telah disediakan bagi mereka yang berminat.

“Di peringkat infrastruktur, Jendela akan membabitkan kos sebanyak RM21 bilion,” katanya dalam sesi maya dengan media mengenai perkembangan inisiatif Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 2) hari ini.

Dengan pengenalan Jendela, tender yang berkaitan dengannya akan diagihkan dan Fadhlullah berkata perbezaan utamanya dengan tender NFCP 2 ialah jumlah tapak.

“NFCP 2 mempunyai 500 tapak manakala Jendela mempunyai 1,661 tapak, iaitu tiga kali ganda dari segi saiz tender dan aspek tender berkaitan yang meliputi tahun 2021 hingga 2022.

“Kami berpendapat dengan bebanan depan, ia akan membolehkan kami mendapat impak lebih awal. Dalam NFCP 2, terdapat 500 tapak dan disebabkan oleh COVID-19, permintaan meningkat, lebih banyak lokasi perlu diliputi dan ditingkatkan. 

“Sementara itu, perbezaan kedua daripada NFCP 2 ialah ia masih mempunyai spesifikasi untuk 3G dan 4G, tanpa mewajibkan pemasangan fiber di menara.

“Kami turut menyatakan dalam Jendela bahawa rangkaian 3G akan ditutup pada akhir 2021, justeru, menjadi tidak logik kepada kami untuk mengeluarkan tender untuk 3G dan menutupnya pada masa depan; manakala membina untuk 4G, ia akan membawa kepada era 5G yang akan membolehkan kita menikmati kelajuan lebih tinggi daripada 100Mbps,” katanya. 

Fadhlullah bagaimanapun mengakui bahawa liputan dan kualiti telekomunikasi masih menjadi masalah pada masa ini.

Menurutnya, walaupun MCMC sedang berusaha sedaya upaya, aspek ini sebaliknya akan memakan masa berikutan kerja-kerja infrastruktur bukanlah sesuatu yang dapat diselesaikan dalam tempoh semalaman.

“Ini memerlukan tempoh 12-18 bulan lamanya. Kami dapat melakukan pertukaran lebih pantas kepada 4G jika kawasan itu mempunyai menara dengan akses peralatan radio yang menyokong teknologi 3G.

“Kerja-kerja infrastruktur dalam tempoh 12-18 bulan itu juga ditentukan oleh proses seperti serahan tender yang diharap mendapat sokongan negeri-negeri terbabit. Tempoh itu mungkin dapat dikurangkan lagi berikutan beberapa negeri sudah mula nampak manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pelaburan berkaitan tender itu adalah sekitar RM4.6 bilion dengan mengambil kira sebanyak 1,661 tapak yang terbabit.

“Pengiraannya bukanlah secara terus iaitu RM4.6 bilion dibahagi dengan 1,661 tapak bagi mendapatkan nilai sebenar setiap tapak. Ini sebaliknya bergantung kepada tipologi dan jumlah penduduk bagi setiap kilometer kerana ada tapak yang mempunyai 3-4 menara dan ada yang kurang daripada itu. Oleh itu, akan ada beberapa perbezaan (nilai bagi setiap tapak),” katanya.

Jendela bertujuan meningkatkan kesalinghubungan digital di seluruh negara dan merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

Ia turut meletakkan asas bagi liputan jalur lebar secara menyeluruh dan berkualiti tinggi, sejajar dengan peralihan negara ke arah teknologi 5G.

Fadhlullah menjelaskan, Jendela merangkumi dua fasa dengan fasa pertama bermula sekarang hingga 2022 yang akan membolehkan sehingga 7.5 juta kelajuan gigabit premis dengan jalur lebar tetap; liputan mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.8 peratus di kawasan berpenduduk; menaik taraf kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25 megabit sesaat (Mbps) kepada 35Mbps dan melibatkan usaha penamatan rangkaian 3G secara berperingkat menjelang akhir 2021.

Fasa dua yang bermula pada 2022 dan berikutnya pula melibatkan penggunaan akses tetap tanpa wayar dan teknologi lain yang bersesuaian bagi menangani jurang digital selain menyasarkan pelaksanaan 5G sebaik perancangan dalam fasa pertama dapat dicapai.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan