Rabu, 25 November 2020
AM
20/11/2020 09:13 PM

PUTRAJAYA, 20 Nov  -- Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan penilaian risiko dengan mengambil kira lima faktor sebelum mengesyorkan sesuatu kawasan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata faktor-faktor yang diambil kira adalah kadar peningkatan kes, taburan kes positif,  kepadatan penduduk, kewujudan tempat tumpuan awam dan keadaan sosiodemografi penduduk.

"(Bagi) kadar peningkatan kes, KKM mengambil kira peningkatan ketara bilangan kes COVID-19, terutamanya jika berlaku dalam tempoh masa yang singkat.

"Taburan kes positif pula meliputi taburan kes dalam mukim dan daerah yang terlibat dan sama ada terdapat tumpuan di kawasan-kawasan tertentu seperti penjara atau pusat tahanan sementara," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata KKM juga mengambil kira kepadatan penduduk setempat yang tinggi dengan bilangan kawasan perumahan, pangsapuri atau rumah setinggan yang tinggi, kewujudan tempat seperti pasar borong, kilang, pejabat kerajaan, kompleks perniagaan dan sebagainya.

Selain itu, keadaan sosiodemografi penduduk setempat, sama ada terdapat penempatan warga asing dan pergerakan penduduk keluar masuk yang banyak juga diambil kira, katanya.

“Sebagai contoh, pada mulanya PKPB tidak dilaksanakan di Kelantan pada 9 Nov (ketika dikenakan di kebanyakan negeri di Semenanjung), namun dengan mengambil kira faktor-faktor yang telah diteliti dalam penilaian risiko KKM, kini terdapat keperluan untuk PKPB dilaksanakan di negeri itu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Yaakob mengumumkan Kelantan dikenakan PKPB bermula esok sehingga 6 Dis ekoran peningkatan kes baharu pandemik COVID-19 di negeri itu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pada 3 Nov, Kelantan mencatatkan lapan kes positif dengan hanya melibatkan tiga daerah, namun pada 19 Nov bilangan kes aktif di negeri itu meningkat kepada 73 kes dan menular ke lapan daripada 10 daerah.

Selain itu, beliau berkata terdapat tujuh kluster aktif iaitu Kluster Ikhtisas, Cergas, Kube, Kaya, Mengketil, Simera dan Jalan Meru yang masih dipantau di Kelantan.

Kluster Mengketil terutamanya mencatatkan pertambahan kes mendadak dengan peningkatan 41 kes dalam masa lima hari, dan kluster itu juga menunjukkan kebolehjangkitan yang tinggi di samping ada risiko penularan tidak terkawal sekiranya PKPB tidak dilaksanakan.

“Penilaian risiko juga telah dijalankan di negeri-negeri lain untuk menentukan sama ada PKPB boleh ditamatkan atau perlu diteruskan.

“Walaupun PKPB telah ditamatkan di beberapa negeri, terdapat keperluan pelanjutan tempoh PKPB di sesetengah daerah kerana penilaian risiko menunjukkan risiko jangkitan yang masih tinggi di daerah berkenaan,” katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham mengingatkan masyarakat agar patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun kebanyakan negeri telah kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan