Selasa, 24 November 2020
19/11/2020 01:11 PM

KUANTAN, 19 Nov  -- Kawasan seluas 465.75 hektar, milik Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan tapak sebuah pasar raya di Jengka, kira-kira 100 kilometer dari sini, tidak lagi berstatus hutan simpan, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata pembatalan status hutan itu dilakukan Pihak Berkuasa Negeri mengikut Seksyen 13 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dengan pemberitahuan pengisytiharan pembatalan dibuat melalui Warta Kerajaan Negeri Pahang bertarikh 11 Dis 2019.

"Pembatalan status berkenaan bermaksud status hutan di belakang UiTM kampus Jengka serta tapak pasar raya itu bermakna kawasan tersebut tidak lagi menjadi sebahagian daripada Hutan Simpan Jengka," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Shahril Azman Abd Halim (PAS-Jengka) yang ingin tahu status terkini hutan tersebut.

Tindakan pembatalan status itu, menurut Wan Rosdy dilakukan untuk membolehkan pembangunan yang lebih baik dan terancang bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan daerah Maran secara amnya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang Datuk Nazri Ngah berkata peneroka di Bukit Goh di sini, yang berdepan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana didakwa gagal membayar cukai semasa terlibat kerana perlombongan bauksit, perlu merujuk kepada perjanjian mereka dengan pengusaha terlibat. 

"Jika perjanjian mengatakan pengusaha yang akan membayar cukai itu, maka ia boleh dirujuk kepada pengusaha yang memajak tanah peneroka. Ini boleh dibincangkan dengan peguam untuk pastikan siapa yang perlu menanggung cukai... dalam apa juga tindakan, kita mesti teliti perjanjian," katanya. 

Nazri menjawab soalan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) yang membangkitkan keresahan peneroka terlibat yang dikejar LHDN sedangkan sudah tidak lagi memperoleh hasil bauksit, kerana aktiviti tersebut telah dihentikan dengan arahan moratorium mulai 15 Jan 2016. 

Nazri juga memaklumkan aktiviti perlombongan bauksit sudah dibenarkan tertakluk pada syarat ketat termasuk bayaran deposit RM5 juta yang juga meliputi bayaran bon jaminan bagi memastikan masalah pencemaran yang membawa kepada pelaksanaan moratorium tidak berulang. 

"Kerajaan negeri telah menawarkan dua kontraktor untuk menjalankan aktiviti ini tetapi sehingga hari ini, kontraktor terlibat tidak membayar deposit. Jika mereka tidak membayar sehingga hujung bulan ini, maka kita akan menghentikan tawaran," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan