Ahad, 25 Oktober 2020
AM
18/10/2020 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt  -- Sejumlah 311 atau 45 peratus daripada 686 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air ekoran henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) berikutan kerja-kerja pembaikan paip air terawat yang pecah semalam, telah pulih sepenuhnya setakat 7 malam ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata sebanyak 375 lagi kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor yang terjejas masih dalam proses pemulihan.

Memperincikan peratusan pemulihan mengikut wilayah, beliau berkata status di Petaling ialah 28 peratus, Klang/Shah Alam (41 peratus), Gombak (91 peratus), Kuala Lumpur (sifar peratus) dan Hulu Selangor (enam peratus).

“Para pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan atau menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas dan mengikut jadual pelan pemulihan bekalan air,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Elina juga berkata Air Selangor terus menggerakkan sebanyak 90 lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan yang terjejas.

Beliau berkata pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili-pili awam yang disediakan untuk kemudahan pengguna semasa tempoh pemulihan bekalan air.

Katanya orang ramai boleh merujuk senarai pili awam di laman sesawang www.airselangor.com.

“Para pengguna dinasihatkan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki dan di pili awam.

“Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor serta laman sesawang www.airselangor.com,” katanya.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan