Sabtu, 31 Oktober 2020
18/10/2020 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt  -- Kerajaan persekutuan disaran menyalurkan dana kecemasan bagi menangani situasi lonjakan kes COVID-19 yang semakin meruncing di Sabah, demikian menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Datuk Dr M. Subramaniam berkata dana tersebut diperlukan bagi menampung peningkatan permintaan bagi Peralatan Perlindungan Diri (PPE), peralatan perubatan, tambahan alat bantuan pernafasan, pusat kuarantin, pengangkutan serta elaun bagi sukarelawan yang bekerja sepanjang masa.

Beliau berkata dilaporkan pada 14 Okt lalu, kadar penggunaan 1,018 katil di sembilan hospital khusus untuk pesakit COVID-19 di Sabah telah mencecah 71 peratus manakala 72 peratus penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di negeri itu setakat semalam.

“MMA bimbang dengan melihat jumlah harian kes yang dilaporkan dengan keadaan mungkin meningkat ke tahap kritikal lebih cepat daripada dijangkakan. Kita perlu bersedia menghadapi kemungkinan itu dan bertindak dengan segera.

“Kami percaya ada kemungkinan lebih banyak yang dapat dilakukan untuk memenuhi keperluan memerangi wabak itu di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata wakil rakyat yang baru dipilih di negeri Sabah harus lebih terlibat dan bekerjasama rapat dengan jabatan kesihatan negeri bagi memastikan penduduk di kawasan masing-masing mendapat maklumat, berada dalam keadaan selamat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Usaha besar yang boleh dilakukan oleh wakil rakyat untuk petugas barisan depan di Sabah adalah menyeru rakyat memberi kerjasama dengan duduk di rumah dan mematuhi SOP. Ini akan secara ketara membantu usaha memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19,” katanya.

Katanya, koordinasi yang lebih baik antara semua agensi juga diperlukan agar keperluan negeri dapat dipenuhi di semua bidang dan semua bantuan daripada badan bukan kerajaan dan orang awam diselaraskan dengan baik bagi membantu usaha memerangi pandemik tersebut.

“Kami juga menggesa jawatankuaasa pengurusan bencana COVID-19 Sabah untuk mendapatkan kerjasama hospital, klinik dan doktor swasta dalam membantu usaha memerangi wabak ini,”  katanya.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata persatuan itu baru-baru ini telah melancarkan kutipan Dana COVID-19 Sabah untuk membantu membeli peralatan dan bekalan perubatan serta PPE.

“Sumbangan boleh dibuat diterus ke Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia di nombor akaun United Overseas Bank: 1063057741 (rujukan penerima: Sabah Covid).

“Semua derma melebihi RM250 dikecualikan cukai. Untuk mendapatkan resit, penderma diminta e-mel kepada alamat mma_sbh@yahoo.com atau WhatsApp nombor 012-28055009 dengan slip pembayaran, nama penuh, alamat dan nombor telefon,” katanya.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan