Sabtu, 31 Oktober 2020
AM
18/10/2020 05:22 PM

KUCHING, 18 Okt -- Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyarankan kerajaan Sarawak berkongsi kutipan cukai jualan produk petroleum berjumlah RM3.18 bilion yang diperoleh tahun lepas dengan rakyat menerusi pembayaran sekali gus RM500 seorang.

SUPP yang juga komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan tabung khusus untuk pembangunan sumber manusia bagi membantu generasi akan datang dalam latihan kemahiran,  penyelidikan teknologi dan pembangunan perniagaan.

Parti tersebut turut mahu kerajaan negeri menubuhkan sebuah Dana Berdaulat Sarawak bagi memastikan generasi masa depan masih dapat menikmati faedah daripada hasil minyak dan gas sekalipun selepas sumber asli Sarawak itu habis.

Itu adalah antara enam resolusi yang diluluskan oleh SUPP pada persidangan tahunan perwakilan parti yang diadakan semalam, kata Presiden parti Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dalam ucapan pada penutupan konvensyen tahunan SUPP yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di sini hari ini.

Sim yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata resolusi lain ialah SUPP menyokong penuh Abang Johari selaku Pengerusi GPS untuk terus menerajui gabungan itu pada pilihan raya negeri ke-12 Sarawak serta kekal memegang jawatan ketua menteri. 

Resolusi ketiga ialah gesaan kepada kerajaan negeri untuk meluluskan penukaran status pegangan pajakan bagi tanah kediaman dan komersial kepada pegangan bebas di seluruh Sarawak tanpa sebarang bayaran premium tambahan, manakala resolusi keempat agar kerajaan Sarawak menyediakan vaksin COVID-19 secara percuma kepada anak negeri apabila vaksin itu tersedia.

SUPP menerusi resolusi kelima mahu kerajaan negeri membina sekurang-kurangnya 5,000 unit rumah mampu milik setiap tahun bagi manfaat rakyat kumpulan B40 dan M40 selain menyediakan bantuan pembiayaan untuk pembeli rumah kali pertama.

Resolusi keenam pula menuntut kerajaan negeri agar terus mengusahakan pengembalian semula hak-hak Sarawak menurut Perjanjian Malaysia 1963 termasuk autonomi ke atas bidang kesihatan dan pendidikan. 

Dalam ucapannya, Sim berkata dana negeri bagi Unit Hal Ehwal Agama Lain (Unifor) serta pendidikan Cina menandakan permulaan Bangsa Sarawak, yang mana pekerjaan, peluang serta pembiayaan diberikan kepada semua tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau turut memuji tindakan pantas Abang Johari dalam memastikan empat parti komponen GPS-Parti Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progesif - bebas daripada gabungan peringkat persekutuan serta menubuhkan gabungan parti tempatan menerusi GPS.

Katanya Abang Johari memastikan Sarawak berupaya keluar dari zon selesa dan bertumbuh pantas yang menyaksikan negeri itu merekodkan peningkatan perolehan daripada RM6 bilion pada 2018 kepada RM10 bilion pada 2020 dan unjuran RM15 bilion selepas 2023. 

“Ini merupakan permulaan Sarawak yang makmur dan teguh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan