Ahad, 25 Oktober 2020
AM
17/10/2020 06:10 PM

SEBERANG JAYA, 17 Okt -- Sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan 219 pengusaha rumah inap desa di Pulau Pinang terdiri daripada golongan wanita dengan majoritiya daripada golongan B40.

Pengerusi Persatuan Homestay Negeri Pulau Pinang Rohaizad Othman berkata kebanyakan inap desa yang diusahakan di negeri ini mempunyai daya tarikan tersendiri dengan fokus mempromosikan aktiviti kampung setempat.

“Ketika ini, perniagaan homestay masih berjalan seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Kita fokuskan kepada aktiviti kampung yang suasananya terbuka dan perniagaan kecil-kecilan seperti menoreh getah, pembuatan kuih tradisional, madu kelulut dan sebagainya,” katanya kepada pemberita hari ini

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Pendaftaran Program Pengalaman Homestay Malaysia kepada peserta baharu bagi Negeri Pulau Pinang yang dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pulau Pinang.

Bagaimanapun menurut Rohaizad, sejak Februari lepas, disebabkan penularan wabak COVID-19, banyak pembatalan penginapan dibuat sehingga hujung tahun ini dengan kebanyakannya melibatkan tempahan oleh pelancong asing.

Katanya, industri rumah inap desa masih menerima kedatangan pelancong dengan majoritinya merupakan pelancong domestik dan pelawat asing yang menetap di Malaysia juga mengulangi percutian di  inap desa.

Dalam pada itu, Pengarah MOTAC Pulau Pinang Jonathan Freddy P. Bagang berkata walaupun berlaku penularan wabak COVID-19, sebanyak RM64,507 berjaya dijana melalui program Pengalaman Homestay Malaysia Negeri Pulau Pinang, bagi tempoh dari Januari hingga September lepas.

“Ini menunjukkan industri inap desa amat berpotensi dan menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya menambah seramai sembilan pengusaha homestay baharu menyertai program itu dengan enam daripadanya adalah wanita.

Sementara itu, beliau berkata, dua kluster rumah inap desa di Pulau Pinang iaitu Homestay Mengkuang Titi dan Homestay Kota Aur telah dicalonkan untuk menerima angerah uAsean Homestay Award 2021-2023 yang dijadualkan berlangsung di Vietnam, pada 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin yang hadir merasmikan majlis berkata penglibatan golongan wanita dalam perniagaan rumah inap desa dapat membantu memperoleh sumber pendapatan sampingan, selari dengan misi kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup wanita.

Tambahnya, objektif utama pelaksanaan Program Pengalaman Homestay Malaysia adalah untuk memenuhi keperluan dua kumpulan sasar iaitu masyarakat kampung dan pelancong.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan